KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 51,104 tan metrik pada November 2022 meningkat 23.0 peratus berbanding Oktober 2022 (41,548 tan metrik).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 54.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2022 diikuti Amerika Syarikat (3.6%), Jerman (2.8%), Turkiye (2.2%) dan Brazil (1.8%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli
seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.10 billion pada November 2022, menurun 5.0 peratus berbanding Oktober 2022 (RM1.13 billion).
Menurut beliau, pengeluaran getah asli menurun 11.8 peratus pada bulan November 2022 (28,048 tan metrik) berbanding pada bulan Oktober 2022 (31,795 tan metrik).
Perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan 8.0 peratus (November 2021: 30,493 tan metrik).
Beliau menambah, pengeluaran getah asli Malaysia pada November 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.2%)
berbanding sektor estet (12.8%).
Jumlah stok getah asli pada November 2022 menurun 1.4 peratus kepada 195,353 tan metrik berbanding 198,181 tan metrik pada Oktober 2022.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.5%) dan estet getah (0.1%).
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 1.3 peratus (November 2022: 472.58 sen sekilogram,
Oktober 2022: 466.42 sen sekilogram) manakala sekerap menurun 5.9 peratus (November 2022: 443.36 sen sekilogram, Oktober 2022: 471.29 sen sekilogram).
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula adalah dalam keadaan bercampur iaitu menurun 3.8 peratus serta meningkat 1.3 peratus.
World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing menurun 1.4 peratus (daripada AS$1.29/kg kepada AS$1.27/kg) dan menurun 4.3 peratus (daripada AS$1.50/kg kepada
AS$1.43/kg).
Berdasarkan laporan analisis arah aliran pasaran getah asli yang diterbitkan oleh Konsortium Getah Antarabangsa (IRCo) pada 14 Disember 2022 menyatakan pengeluaran mungkin tidak meningkat “pada skala besar” dalam beberapa bulan akan datang di tiga negara pengeluar utama Thailand, Indonesia dan Malaysia.
Ini disebabkan penyebaran penyakit daun, keadaan cuaca yang tidak menentu, peningkatan suhu iklim serta input baja yang rendah disebabkan oleh kos yang tinggi.
Situasi kemarau di rantau ini dan keengganan untuk meneruskan aktiviti penorehan kerana harga getah asli yang rendah memberi kesan kepada pengeluaran.
Menurut IRCo lagi, berkemungkinan juga perkara ini akan berlaku di Indonesia dan Malaysia, yang menjejaskan keseluruhan pengeluaran getah asli di rantau ini sebanyak kira-kira 10 peratus pada separuh pertama 2023.
IRCo terus meramalkan peningkatan dalam ekonomi global dan pengurangan eskalasi dalam perang Rusia-Ukraine dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Memetik statistik terkini daripada Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC), laporan itu meramalkan pengeluaran 2022 mencecah 14.343 juta tan.
Penggunaan yang akan berlaku dijangka pada 14.805 juta tan, pasaran global ditetapkan untuk defisit 462,000 tan untuk tahun lepas, tambahan pula, pengeluaran getah asli di Thailand dijangka lebih rendah semasa musim sejuk pada April, Mei dan Jun 2023. – MalaysiaGazette