KUALA LUMPUR – Exco Puteri UMNO, Fadhwa Anuar menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia pada sesi pemilihan akan datang.
Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan sebelum ini.
“Alhamdulillah beliau memberi sokongan kepada saya, ia sebagai dorongan kepada saya.
“Saya meraikan demokrasi yang ada dalam parti, kalah atau menang itu sudah menjadi adat dalam pertandingan, namun untuk bermusuh antara satu sama lain, tidak sekali-kali,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Fadhwa yang menjadi panel program SKOP MG berkata, peluang tersebut akan diguna sebaik-baiknya untuk membawa Puteri seterusnya UMNO ke tahap yang lebih baik lagi.
“Saya akan meneruskan perjuangan sebelum ini dengan ada lagi penambah baikan untuk memastikan kelangsungan hala tuju parti.
“Saya melihat pertandingan ini sebagai demokrasi terbaik yang menjadi amalan dalam UMNO sejak dulu lagi dan pastinya akan diteruskan sampai bila-bila,” katanya.
Sementara itu, menerusi program SKOP MG, Fadhwa berkata, terdapat kepimpinan UMNO yang masih membelakangkan parti dengan cara memburuk-burukkannya menerusi media sosial.
“Bukan lagi rashia kita dalam kain UMNO menjadi perhatian orang luar kerana ia disampaikan oleh mereka yang mahu menjahanamkan UMNO.
“Lagi-lagi dengan media sosial, semua boleh didedahkan.
“Sebenarnya kalau ikut umur, UMNO patut dah matang, 77 tahun lamanya ditubuhkan, jangan sampai kita dibakul sampahkan oleh rakyat hanya kerana sikap-sikap begini,” katanya.
Jelasnya lagi, ia penting untuk mengelakkan daripada dilabel dengan pelbagai tohmahan dan gelaran.
“Kita kena elak daripada orang cakap ‘UMNO sudah layak masuk muzium.
“Sikap dan integriti sesetengah pemimpin-pemimpin UMNO boleh dinilai dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi. -Malaysia Gazette