PENJELASAN diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini berhubung keputusan parti itu untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan melegakan keresahan yang selama ini melanda ahli-ahli akar umbi di seluruh negara.
Kini mereka tahu keputusan tersebut dibuat demi kelangsungan parti dan bukan bermotif kepentingan peribadi seperti yang digembar-gemburkan oleh musuh UMNO.
Sebelum ini, ada dalam kalangan ahli-ahli parti yang termakan hasutan pihak lawan kononnya keputusan itu dibuat kerana pemimpin-pemimpin UMNO gilakan jawatan dalam Kabinet dan kerajaan.
Sudah selesai satu perkara namun ia tidak berakhir di situ sahaja. Masih timbul tanda tanya mengenai masa depan hubungan Barisan Nasional (BN) dan PH lebih-lebih lagi menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Adakah model Kerajaan Perpaduan akan diguna pakai di negeri-negeri tersebut sekiranya BN dan PH membentuk pakatan pilihan raya dan menang?
Perkara ini perlu diperjelaskan lebih awal kepada jentera parti supaya mereka lebih bersedia menghadapi kemungkinan bekerjasama dengan parti-parti yang pernah menjadi seteru politik UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Harus diingat bahawa kerjasama dalam kerajaan dan kerjasama dalam pakatan pilihan raya adalah dua perkara yang sangat jauh berbeza.
Jentera UMNO tidak pernah membayangkan mereka akan berganding bahu dengan jentera DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam mana-mana kempen pilihan raya.
Apatah lagi jika mereka turut berkempen membantu calon-calon DAP, PKR dan Amanah di kerusi-kerusi DUN yang secara tradisinya ditandingi UMNO.
Justeru, kepimpinan UMNO khususnya mereka yang di bawah portfolio penerangan perlu bertindak secara proaktif mempersiapkan minda akar umbi untuk menerima kemungkinan tersebut.
Mereka tidak boleh menunggu sehingga tarikh PRN semakin hampir kerana ketika itu, sudah agak terlewat untuk merungkai kekeliruan yang timbul dalam kalangan akar umbi lebih-lebih lagi mereka yang terpengaruh dengan dakyah palsu parti lawan.
Namun, sebelum itu, pucuk pimpinan kedua-dua parti perlu segera membuat keputusan kerana mereka akan bertembung dengan Perikatan Nasional (PN) yang sudah bertapak di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta bersedia untuk meluaskan penguasaan ke Negeri Sembilan dan mungkin Selangor. – MalaysiaGazette