Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berswafoto bersama perwakilan Puteri UMNO selepas Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2022.

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang masuk hari ketiga hari ini seperti suram tanpa kelibat Datuk Seri Najib  Razak.

Tidak seperti PAU sebelum ini, Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO sentiasa menceriakan suasana persidangan.

Kali ini, beliau bersendirian dalam penjara  selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International pada 23 Ogos lalu.

Pada PAU2022 ini Najib hanya diwakili dua anaknya, Nooryana Najwa dan Datuk Mohd Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri peramu Jaya.

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa bercakap kepada media selepas mendengar ucapan dasar daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 13 JANUARI 2023.

Ini juga diakui oleh Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengemudi UMNO selepas Najib meletakkan jawatan Perdana Menteri ketujuh dan Presiden UMNO.

Beliau mengambil keputusan itu atas sifat tanggungjawab dengan kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018.

Itulah sifat mulia Najib. Beliau tidak berdolak dalik atau beralasan dengan kekalahan parti yang diterajuinya sejak 2009 sebaliknya, mengaku sebagai pemimpin yang bertanggungjawab atas kekalahan itu.

Sejak itu, jawatan nombor satu UMNO diberikan kepada Ahmad Zahid yang kemudian meneruskan kesinambungan hayat parti dengan menyusun gerak kerja bagi memastikan ia tidak ‘mati’ di tengah jalan selepas ditinggalkan Najib.

Hari ini, selepas empat tahun mengemudi parti, Ahmad Zahid berdepan dengan pelbagai rintangan dari luar dan dalam parti yang cuba untuk melemahkan kepimpinannya.

Serangan dari luar ialah usaha bekas-bekas pemimpin UMNO untuk memadamkan nama parti keramat orang Melayu itu supaya seluruh ahli beralih sokongan kepada parti baharu yang ditubuh.

Keengganan bekas Timbalan Perdana Menteri di era Najib itu menyebabkan beliau ditekan dengan pelbagai kaedah termasuk mencipta kes tertentu agar dirinya dilihat sebagai ‘penjenayah’ di mata umum.

Bercerita dalam ucapan dasarnya, beliau menyatakan, sebelum Najib meletakkan jawatan Perdana Menteri ketujuh, pasukan UMNO yang dipimpinnya amat kuat dan jitu.

Mereka yang terpilih selepas pemilihan parti pada tahun 2018 menjadi barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra parti, tetapi tidak dinafikan ada yang terus menyepi dan tidak kurang juga melompat lari.

Namun, pada ketika itu, suara UMNO hanya satu sahaja iaitu mewakili parti dan Barisan Nasional (BN).

“Beberapa langkah politik yang kita ambil, merubah landskap dan sudut pandang rakyat terhadap politik. Sedikit demi sedikit, UMNO kembali diyakini.

“Apatah lagi tanpa perlu kita apologatik, faktor Bossku, Datuk Seri Najib menjadi antara penyumbang utama sehingga kembalinya sokongan rakyat kepada UMNO dan BN khususnya.

“Namun, apabila fenomena Bossku melanda negara, kelompok kecil dalam kalangan kita terus mendendangkan suara mempertikaikan Bossku. Diulang-ulang isu mahkamah beliau, walaupun kita tahu, ia adalah pendakwaan politik dan terpilih,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga tidak menafikan, terdapat segelintir pemimpin dalaman parti sendiri yang cuba menonjolkan diri ingin menidakkan faktor kebangkitan semula UMNO ketika itu.

Namun, beliau terus menggerakkan parti ke hadapan sehingga ada suara-suara seolah menggugut kononnya penyatuan ummah yang dimulakannya merupakan gerakan politik yang amat bahaya.

Ia dikatakan akan mewujudkan sitiuasi politik yang tidak sihat dan tidak seimbang. Ini memandangkan Malaysia sebuah negara majmuk, pelbagai latar suku dan agama.

“Kita tidak boleh membentuk gerakan politik yang terlalu kanan. Ironinya pada masa sama, kelompok ini tidak pula mahu bersama kepimpinan parti ketika itu.

“Mereka menjauhkan diri, kononnya dengan alasan bertanggungjawab atas kekalahan parti, tetapi tidak kurang juga selepas tewas dalam pemilihan, mereka terus menyepikan diri. Ibarat kura-kura yang menyorokkan kepala.

“Ketetentuan Allah, kita dilorongkan menjadi sebahagian daripada kerajaan pada Mac 2020. Namun, sebelum menyertai kerajaan, selepas kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020, UMNO menuntut pilihanraya diadakan agar mandat dikembalikan semula kepada rakyat,” ucapnya.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO dan BN mahukan sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan dengan mandat rakyat.

Bagaimanapun, atas pertimbangan kepentingan negara dan rakyat ketika itu serta selari dengan titah oleh Yang di-Pertuan Agong bersandarkan Perlembagaan Persekutuan, UMNO dan BN tampil bersama-sama membentuk kerajaan.

Beliau turut menyentuh rentetan peristiwa itu bagi mengingatkan langkah yang telah diambil untuk mengangkat semula parti ke persada.

“Jangan kita lupa bahawa barisan kepimpinan parti sentiasa menilai arus politik untuk melonjakkan parti. Ketika itu langkah kita sederap, suara kita sekata dan gandingan kita mantap.

“Rupa-rupanya ujian kuasa yang diberikan Allah SWT adalah lebih berat daripada ujian kita kehilangan kuasa. Saya diserang kerana anggota Kabinet yang dipilih tidak dilihat mewakili gerakan kebangkitan parti ketika itu.

“Sebagai presiden, saya tidak berada dalam Kabinet. Itu bukan soal besar kepada saya. Asalkan parti kita kembali berada di Putrajaya,” ulas beliau.

Kendati pada ketika itu, ada gerakan dibuat untuk menyingkirkan beliau malah ada rundingan pintu belakang telah diatur dengan Perikatan Nasional (PN) yang dinamakan Langkah St Regis.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa dan apakah gerakan itu kerana baginya, apa yang telah berlaku makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik serakah peribadi mereka yang terlibat tanpa memikirkan mudarat kepada parti.

Pada akhir ucapan itu, beliau berharap dengan penjelasan itu, letakkanlah noktah kepada polemik yang berlaku.

“Saya tahu, perkara-perkara ini, menjadi modal yang terus dimainkan, tambahan pula pemilihan parti semakin hampir. Termasuklah, saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama presiden dan timbalan presiden parti.

“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan.

“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya. Namun, saya yakin ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ori yang mana fake,” akhirinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast