Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada upacara menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberikan lima sebab mengapa parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam laporan yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang berlangsung hari ini, beliau berkata, empat daripada faktor itu dirancang dan dibangkitan oleh parti lawan.

Faktor utama menurut Ahmad, pihak lawan telah menyalahgunakan data peribadi pengundi.

“Salah guna data peribadi anak-anak muda dan kita semua menerima digital handbil. Siapa bagi nombor telefon kita kepada mereka, mereka ‘merompak’ nombor-nombor itu dan menyalahgunakan,” kata Ahmad.

Rasuah juga, katanya, menjadi faktor kekalahan UMNO apabila pihak lawan didakwa memberi wang tunai secara langsung kepada pengundi muda sebanyak RM150, RM300 kepada mahasiswa, RM600 kepada orang kurang upaya dan RM600 kepada pesara yang.

Selain itu, kekalahan UMNO turut disebabkan pemimpin UMNO dizalimi dengan dikenakan pendakwaan termasuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad juga mendakwa UMNO tewas disebabkan anak muda dimanipulasi dengan pelbagai sebaran di media sosial.

Selain itu sabotaj dalaman turut menyumbang kekalahan parti keramat orang Melayu itu.

“Antara rumusan analisa Pilihan Raya Umum ke-15 adalah seperti pantun ini. Puas sudah mencari azimat, terjumpa pula keris dan parang. Puas sudah menabur khidmat, emas juga dipandang orang,” kata Ahmad.

Beliau menegaskan, UMNO telah berusaha untuk mencapai kemenangan antaranya dengan mengadakan pelbagai siri himpunan bersama pengarah pilihan raya, siri himpunan solidariti dengan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, menurutnya, pelbagai sesi libat urus dengan 191 bahagian UMNO selain banyak program bahagian, wanita, pemuda dan puteri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast