Ir. Baharin Din (depan, kanan) menyerahkan LOI kepada Tangku Zafrul Abdul Aziz sambil disaksikan Anwar Ibrahim di IKN Nusantara, Indonesia di Jakarta baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyerahkan Surat Hasrat (LOI) yang menyatakan minat untuk meneroka dan mengambil bahagian dalam pembangunan dan operasi penyelesaian tenaga di IKN Nusantara, Indonesia merentasi pelbagai teknologi seperti gas, solar, angin, hidro dan penyimpanan bateri.

LOI itu diserahkan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada Pengerusi Otorita Ibu Kota Nusantara (IKN), baru-baru ini.

TNB juga berminat untuk meneroka sebarang peluang dalam perniagaan kesalinghubungan grid melalui kerjasama dengan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) untuk membangunkan infrastruktur penghantaran voltan tinggi yang selamat dan boleh dipercayai di Global City for All, IKN Nusantara.

Penyerahan LOI itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan dua hari ke Indonesia pada 8 Januari lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, LOI akan membantu mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama kedua-dua negara serta mempercepatkan pembangunan tenaga bersih di kedua-dua negara.

Pada majlis itu, Baharin turut menyerahkan satu lagi LOI kepada Pengarah Perancangan Sistem dan Transmisi PLN, Evy Haryadi untuk mengkaji semula MoU sebelum ini bagi meneruskan kerjasama peralihan tenaga yang bertanggungjawab, sejajar dengan komitmen kelestarian kedua-dua syarikat tenaga.

Menurutnya, terdapat banyak persamaan antara kedua-dua syarikat, sekali gus membolahkan TNB dan PLN mendapat manfaat bersama daripada perkongsian kepakaran dan pengalaman ini dalam menghadapi cabaran peralihan tenaga.

Menjelaskan LOI ini, Baharin berkata, TNB mencadangkan agar MoU disemak semula bagi membolehkan kedua-dua utiliti menghidupkan kembali kajian penerokaan pembangunan kemudahan kesalinghubungan voltan tinggi di antara Sumatera, Indonesia ke Semenanjung Malaysia.

”Rangkaian di antara Sumatera dan Semenanjung Malaysia adalah sebahagian daripada Grid Tenaga ASEAN. Apabila projek ini siap kelak, negara-negara di rantau ASEAN akan dapat berkongsi sumber penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB), mengambil bahagian dalam perdagangan tenaga pelbagai hala dan menyediakan keselamatan tenaga untuk rantau ini,” tambah Baharin. – MalaysiaGazette