bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mencatatkan aliran lebih tinggi minggu depan susulan tekanan inflasi yang kian reda di Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih kecil, kata penganalisis.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata,  pelabur akan mula keluar daripada keluk risiko dan mula membeli aset Malaysia yang mempunyai kaitan dengan ekonomi China seperti pengeksport komoditi, pelancongan, perkhidmatan serta eksport perindustrian.

“Kita juga akan menyaksikan kembalinya aliran daripada pelabur yang memiliki kekayaan bersih tinggi yang akan keluar daripada bursa AS dan kembali ke pasaran Malaysia, juga didorong oleh dolar AS yang rendah,” katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pembuatan meneruskan pertumbuhan dua angka untuk mencatatkan jualan RM159.2 bilion pada November 2022, peningkatan 11.8 peratus tahun ke tahun.

Indeks Harga Pengguna (IHP)  AS turun 0.1 peratus bagi Disember 2022, memenuhi jangkaan untuk penurunan terbesar sejak April 2020.

Justeru, beliau berpandangan FBM KLCI akan menguji paras 1,500 minggu depan.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng juga menjangkakan indeks penanda aras itu untuk menguji semula paras 1,500 minggu depan dengan sentimen pasaran yang positif.

“Dari sudut pandangan teknikal, kita akan melihat rintangan serta-merta pada 1,500 diikuti oleh 1,530 manakala sokongan pada 1,460 seterusnya 1,465,” katanya.

Pasaran tempatan lebih tinggi kebanyakannya, menjejaki prestasi bursa serantau dan dirangsangkan oleh pembukaan semula sempadan China, ditambah dengan data IHP Disember 2022 dari AS.

Berasaskan minggu ke minggu, indeks utama meningkat 14.48 mata kepada 1,495.03 daripada 1,480.55 minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 153.47 mata kepada 10.785.80; Indeks FBM Emas Syariah menambah 140.85 mata kepada 10,976.72 dan Indeks FBMT 100 menokok 140.15 mata kepada 10,482.57.

Indeks FBM ACE naik 77.58 mata kepada 5,455.48 dan Indeks FBM 70 melonjak 345.96 mata kepada 13,380.67.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.62 mata kepada 185.29 dan Indeks Perladangan menambah 32.74 mata kepada 6,922.91.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 205.67 mata kepada 16,621.15 dan Indeks Tenaga naik 45.35 mata kepada 822.94.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 16.92 bilion unit bernilai RM10.77 bilion daripada 13.32 bilion unit bernilai RM6.71 bilion minggu lepas

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 10.35 bilion saham bernilai RM8.25 bilion daripada 8.06 bilion saham bernilai RM5.12 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.56 bilion unit bernilai RM354.78 juta daripada 1.50 bilion unit bernilai RM340.67 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 5.03 bilion saham bernilai RM2.16 bilion daripada 3.76 bilion saham bernilai RM1.25 bilion pada Jumaat minggu lepas. – BERNAMA