Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan sesuatu dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2023.

SELEPAS UMNO tewas teruk dalam pilihan raya umum yang lalu parti ini perlu mengesahkan kredibiliti pemimpin terutama pemegang jawatan presiden dan timbalan presiden.

Kedua-dua jawatan tertinggi dalam parti itu memerlukan mandat baharu daripada ahli akar umbi dan satu-satunya cara hanyalah melalui pemilihan.

Pemerhati politik Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, imej dan reputasi pemimpin yang dipilih melalui pertandingan tidak akan dipertikaikan .

Ini kerana jawatan mereka telah mendapat kesahan dan sokongan daripada akar umbi parti.

“UMNO sekarang ini dalam keadaan lemah dan prestasi sangat buruk. Sudah tentu perpaduan kesatuan ahli dalam UMNO penting untuk memastikan parti tidak berpecah dan sebagainya.

“Namun untuk membawa UMNO ke hadapan, tidak ada salahnya kedua jawatan dipertandingkan.

“Ini kerana ia akan berikan satu endorsement dan mandat baru kepada presiden dan timbalan presiden,” kata Mohd. Izani.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hangat apabila ada perwakilan mencadangkan usul tambahan, jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin pada ucapannya sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden.

Usul itu kemudiannya disokong oleh perwakilan Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Mohd. Izani Mohd. Zain

Mohd. Izani berkata, pemimpin yang menang dalam pertandingan bukan sahaja diterima oleh akar umbi parti itu sahaja tetapi juga oleh rakyat.

“Imej dan reputasi tidak akan dipertikaikan kerana dalam pemilihan mereka memang mendapat mandat sokongan,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia itu berkata, perpercahan tidak harus menjadi alasan untuk parti tersebut menyekat pertandingan kedua-dua jawatan berkenaan.

Malah menurutnya, ketika ini perpecahan sedang berlaku dalam parti berkenaan.

Bagaimanapun sebagai parti yang berpengalaman UMNO boleh menyatukan semua pemimpin dan akar umbi selepas pemilihan berlangsung.

Malah parti seperti PKR yang dilihat berpecah sebelum pemilihan parti tahun lalu kini kembali kukuh semula.

“Sebagai parti yang sudah lama dan matang UMNO boleh mengawal situasi ini. UMNO parti yang berpengalaman.

“Parti-parti lain pun mereka berani mengadakan pemilihan. Macam PKR mereka membuat pemilihan sebelum pilihan raya memang kita dapati ada persaingan, ada pertembungan antara beberapa tokoh.

“Namun selepas pemilihan kita dapat melihat PKR bertaut kembali dan menjadi parti dalam kerajaan. Bagi saya tidak ada isu yang besar dan pemilihan akan membawa kepada perpecahan.

Ahmad Zahid Hamidi bersama Mohamad Hasan dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan kempimpinan UMNO yang lain mengibar bendera dan menyanyikan lagu UMNO pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2023.

Sementara itu Mohd. Izani berpendapat penyandang jawatan presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai kelebihan untuk disokong semula.

Ini kerana kedua-dua penyandang jawatan tersebut berada dalam Kabinet kerajaan yang memerintah.

“Kalau kita lihat dari segi realiti dan situasi politik semasa presiden dan timbalan presdien mempunyai kelebihan kerana mereka berdua berada dalam kerajaan.

“Presiden adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden adalah Menteri Pertahanan. Mereka berada dalam Kabinet sudah tentu mereka ada kelebihan.

“Saya kira sewajarnya kalau mereka bertanding pun mereka saya yakin mereka mempunyai kelebihan untuk mempertahankan jawatan sekaligus mendapat mandat baru dalam kerajan,” katanya.

UMNO perlu mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei ini.

Beberapa perwakilan yang berbahas dalam Perhimpunan Agung UMNO menolak usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil pada sidang media semalam menyifatkan usul tambahan itu dikemukakan sebagai satu bentuk usul persefahaman dalam kalangan pemimpin UMNO akar umbi.

Katanya, usul itu jika pun diluluskan perwakilan PAU 20220, tidak bermakna UMNO menyekat mana-mana ahlinya yang mahu mencabar dua jawatan tertinggi itu, memandangkan UMNO juga tidak pernah meminda Perlembagaan partinya bagi memenuhi tujuan itu.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast