Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan nafi mengarahkan wakil dari bahagiannya iaitu UMNO Rembau membuat usul agar jawatan beliau dan presiden tidak dipertandingkan.

Mohamad menjelaskan, beliau sendiri tidak sedar bahawa Mohd Shukri Samsudin yang menjadi pembahas mewakili Negeri Sembilan akan membuat usul tersebut pada Perhimpunan Agung UMNO.

Beliau turut menjelaskan tindakannya berdiri selepas usul berkenaan dikemukakan dalam perhimpunan yang diadakan di Dewan Merdeka semalam.

“Saya sendiri terpinga-pingga. Saya tak tahu (perwakilan Negeri Sembilan buat usul tambahan).

“Saya sibuk. Saya bangun kerana lihat orang bangun, saya bukan bangun kerana menyokong,” kata Mohamad dalam sidang akhbar hari ini.

Sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tersebut adalah penutup Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung sejak Khamis lalu.

Usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan  pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Mohd Shukri membentangkan usul berkenaan semalam.

Sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) kecoh semalam selepas ada dalam kalangan perwakilan tidak puas hati terhadap usul tersebut.

Sebelum itu bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin melahirkan rasa hairan penambahan usul itu dibentangkan oleh Mohd Shukri yang merupakan orang Rembau.

Ini kerana katanya, Timbalan Presiden UMNO iaitu Mohamad adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau.

“Pelik sebab timbalan presiden ialah Ketua UMNO Bahagian Rembau, kalau nak bawa penambahan usul pun cover lah sikit, what happen to you Mat Hassan?

“Jadi usul ini (tidak ada pertandingan jawatan nombor 1 dan 2) sedang dibahas tapi mendapat tentangan hebat daripada beberapa pembahas Wilayah Persekutuan, Johor yang masih berani untuk menghormati kehendak perwakilan supaya demokrasi dapat dijalankan seperti biasa dalam parti UMNO.

“Saya merayu perwakilan yang ada dalam dewan kita jangan biarkan usul ini lulus, kita bagi perwakilan bahagian untuk kebebasan memilih pucuk pimpinan parti yang akan datang,” katanya.-MalaysiaGazette