PRU16
Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Selama ini, UMNO mempunyai pengalaman penyerahan kuasa ketika parti itu berdepan dengan masalah.

“Daripada zaman Tunku Abdul Rahman, kalau ada masalah Tun Abdul Razak ambil alih, kemudian Tun Hussein Onn, lepas tu Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) dan Datuk Seri Najib Razak.

“Cuma tiba pada Datuk Zahid ini dia lain, parti ini kena dinamik,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerusi program SKOP MG.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, tidak ada solusi terbaik tanpa pertandingan, sebaliknya keputusan untuk tidak mempertandingan dua jawatan utama UMNO itu dilihat melumpuhkan demokrasi dalam parti.

“Realiti politik hari ini sangat berbeza. Kalau ahli suka kita, tak adalah teruk kita kena masa pilihan raya. Kita masih tidak ada strategi. Ada parti, ahli pun tak ramai, jentera pun tak ramai tapi guna pendekatan berbeza dengan komunikasi.

“Mereka guna isu yang tak akan menampakkan parti tak boleh dipercayai. Inilah yang didambakan oleh ahli di bawah,” katanya.

Selepas tamat Perhimpunan Agung UMNO 2022, UMNO akan mengadakan pemilihan di peringkat bahagian selepas perwakilan juga sebulat suara bersetuju tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Pada masa sama, UMNO juga akan bersedia menghadapi pilihan raya negeri untuk enam lagi negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang.

Johari menambah, peranan presiden parti sangat besar antaranya perlu memastikan dan bertanggungjawab terhadap kemenangan parti pada pilihan raya akan datang.

Oleh itu, perkara tersebut harus diberi pencerahan segera.

”Selama ini presiden yang tentukan siapa calon. Sebelum ini kita tiada pencerahan. Selepas ini, presiden kena bertanggungjawab untuk memastikan parti ini menang kembali.

”Perkara ini semua terletak di tangan presiden, tidak boleh lagi orang lain. Kita pun tak pernah melalui proses ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette