Mohd Arifin Mohd Arif menghadiri Program Wam2care bersama 300 Mahasiswa Mahasiswi Sabah di Hotel Goodhope di sini, hari ini.

JOHOR BAHRU – Status Sabah dan Sarawak yang diangkat kepada wilayah menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, langkah itu  mampu memberi pelbagai kesan positif termasuk dalam usaha memperjuangkan hak dalam MA63, sekali gus akan membangunkan Sabah dalam banyak perkara termasuk pendidikan.

“Ini pengumuman yang sangat baik dan ini adalah dalam usaha kita untuk memperjuangkan MA63, dan kita harap usaha MA63 dilaksanakan.

“PM sangat prihatin berhubung hal-hal MA63, yang terbaharu seliaan tenaga, yang mana telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan kita terima kasih kepada PM kerana beri perhatian berkenaan isu-isu dalam MA63 termasuk dari sudut pendidikan dengan ada beberapa bantuan atau perkara-perkara yang telah diluluskan.

“Dengan kelulusan itu, kita dapat membangun negeri, misalnya tahun lepas kita dapat lebih RM120 juta dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang telah memberikan peruntukan ini untuk membangunkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya di seluruh Sabah. Alhamdulillah, mudah-mudahan tahun ini akan ada lagi sumbangan dan perkara yg dituntut untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Wam2care bersama 300 Mahasiswa Mahasiswi Sabah di Hotel Goodhope di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya adalah wilayah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkam berkata, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

“Walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah pelaksanaannya.

“Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,”katanya.

Pada 4 Januari lalu lepas, Anwar berkata, pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63, selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.

Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan ia harus dikaji setiap lima tahun agar jumlahnya lebih munasabah.

Kerajaan juga bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di kedua-dua negeri diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.- MalaysiaGazette

Mohd Arifin Mohd Arif menghadiri Program Wam2care bersama 300 Mahasiswa Mahasiswi Sabah di Hotel Goodhope di sini, hari ini.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast