KUALA LUMPUR – Usul perwakilan UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin semalam agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan sebenarnya tidak boleh diteruskan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
Perwakilan UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, usul itu bertentangan dengan Fasal 30, Buku Perlembagaan UMNO dan Perkara 10, Peraturan Persidangan.
“Saya pun pelik, macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin UMNO sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya.
“Saya dapati usul yang dibawa semalam tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
“Ini kerana ia perlu dimurnikan mengikut Perlembagaan dan peraturan mesyuarat,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 2022 (PAU2022), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Pandak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri berjiwa besar dan sedia dicabar mana-mana pihak tanpa menyekat proses demokrasi dalam parti.
“Presiden telah berjabat tangan, ready to fight kepada Khairy Jamaluddin. Presiden pun berjiwa besar. Presiden tidak ada masalah untuk bertanding dan yakin untuk mempertahankan jawatan. Begitu juga timbalan presiden,” katanya.
Pandak yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri juga mempersoalkan usul tersebut sedangkan parti Melayu itu kerap melaung-laungkan slogan perpaduan dan kestabilan parti.
“Sampai bila kita ingin menunggang ‘perpaduan parti’ atau ‘kestabilan parti’. Jika betul UMNO mahu perpaduan dan kestabilan, kenapa hanya jawatan presiden dan timbalan presiden sahaja yang tidak dipertandingkan?
“Kenapa bukan semua jawatan-jawatan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga!
“Bawalah usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan-jawatan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan. Tak perlu kelulusan dan persetujuan Majlis Kerja Tertinggi dan due process yang sepatutnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette