KUALA LUMPUR – Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan buat julung kalinya melakukan kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sempena lawatan kerja beliau ke Malaysia selama empat hari bermula hari ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan rasmi beliau ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi siri hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Singapura.
“Malah ia merupakan kunjungan peringkat menteri yang pertama diterima Zambry sejak dilantik sebagai menteri ke-15 menerajui Wisma Putra pada 2 Disember tahun lalu.
“Kedua-dua menteri bakal bertemu bagi bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, kunjungan Vivian dibuat dua hari selepas menerima lawatan kerja oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ke Singapura.
Wisma Putra berkata, Menteri Luar Singapura itu juga dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.
“Di samping itu, beliau akan mengadakan sesi pertemuan dengan beberapa menteri di bawah Kabinet pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang baharu,” jelas kenyataan itu.
Lawatan kerja Vivian bakal memberikan peluang terbaik untuk Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara dua negara.
Singapura sepanjang tahun lalu merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di peringkat global malahan yang paling besar dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Republik tersebut merekodkan jumlah dagangan yang bernilai sebanyak RM336.73 bilion (AS$76.4 bilion) bertambah 30.8 peratus berbanding dicatatkan pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL