Sharon Tei (dua dari kiri) menerima sumbangan CSR daripada wakil Bob Rock Cloting di Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – “Ada juga yang mahu tinggalkan orang tua mereka di sini tetapi kita tidak terima. Rumah ini hanya khusus untuk yang tinggal sebatang kara dan tidak ada keluarga.”

Itu dedah Pengurus Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia, Sharon Tei.

Menurutnya, sikap lepas tangan sesetengah keluarga itu dikesali dan pihaknya mahu mengajar mereka supaya bertanggungjawab kepada orang tua sendiri.

Menurut Sharon, semua penghuni di situ adalah mereka yang sebatang kara dan tidak mempunyai keluarga.

Katanya, mana-mana keluarga yang mahu menempatkan orang tua di rumah itu tidak akan diterima sebaliknya mereka diminta supaya menjaganya sendiri.

Dalam pada itu beliau sentiasa mengalu-alukan sumbangan dan bantuan mana-mana pihak yang hendak berbuat kebajikan sama ada secara individu mahu pun pertubuhan.

Sharon berkata, rumah kebajikan yang berusia lebih 60 tahun itu sentiasa menerima kunjungan pihak tertentu kecuali sepanjang pandemik Covid-19 tahun lalu.

“Memang kami perlukan bantuan dan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menampung 29 penghuni di sini. Dengan bantuan anda semua, kami dapat menjimatkan kos untuk menyediakan makan minum, penyelenggaraan bangunan dan membeli peralatan yang diperlukan oleh penghuni.

Sharon Tei

“Semua penghuni yang berusia 60 tahun ke atas hingga 90 tahun ditanggung sepenuhnya oleh badan kebajikan itu,” katanya kepada media selepas menerima sumbangan daripada Bob Rock Cloting di sini hari ini.

 

 

Beliau bersama empat kakitangan menyelia rumah kebajikan itu sejak sekian lama dan masih memerlukan beberapa petugas seperti pegawal keselamatan dan pemandu.

Bagaimanapun, ujar beliau, pihaknya terpaksa menangguhkan dahulu pengambilan kakitangan itu kerana tidak mempunyai kos mencukupi untuk membayar gaji.

“Kami bernasib baik kerana ada dalam kalangan empat kakitangan ini secara sukarelawan menjadi pemandu sementara dan menjaga sekitar rumah ini.

“Kami perlu menjimatkan kos untuk meneruskan kehidupan penghuni yang berjumlah seramai 29 orang ini.

“Kita tidak tahu masa depan kita macam mana. Jadi, kami ambil langkah berjimat cermat dari segi penggunaan sumber kewangan,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada kedai pakaian jenama Bob Rock Cloting kerana memilih Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia untuk menghulurkan sumbangan.

Katanya, mana-mana pihak yang hendak menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 03-7876 9233 atau 017-2661 282. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast