Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Bekas anggota polis dan isteri antara tiga individu ditahan selepas dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di Penaga, Seberang Perai Utara pada 13 Januari lalu.

Operasi bermula pukul 7.30 malam itu membawa kepada rampasan 453 ketulan mampat ganja kira-kira 451.9 kilogram (kg) bernilai lebih RM1.13 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan tersebut bermula apabila pasukannya menahan bekas anggota polis berusia 33 tahun itu di hadapan rumahnya di Kepala Batas bersama 10 ketulan mampat disyaki ganja.

Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai dalam perjalanan menuju ke satu lokasi sambil membawa dadah bernilai RM25,000 terbabit yang diletakkan di bawah tempat duduk motosikal.

“Hasil serbuan itu, polis kemudiannya menyerbu rumah suspek dan menahan isterinya berusia 33 tahun bersama 443 ketulan mampat disyaki ganja seberat 441.7 kg yang ditemui di dalam bilik.

“Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 42 tahun yang merupakan dalang utama kegiatan itu di kawasan berdekatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, bekas anggota polis yang berasal dari Pulau Pinang itu dipecat pada 2018 atas kesalahan dadah dengan pangkat terakhir sebagai Lans Koperal.

Kata beliau, suspek dipercayai menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan selepas dia ditamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis.

“Hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak awal tahun lalu bagi pasaran tempatan dan dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan laut.

“Apa juga (kesalahan) penyalahgunaan dadah membabitkan anggota polis adalah begitu serius dan ini adalah satu manifestasi bahawa tangkapan dan tindakan buang kerja anggota terlibat adalah satu tindakan ditentukan oleh pucuk kepimpinan,” katanya lagi.

Keseluruhan dadah yang dirampas serta sitaan harta berjumlah RM1.54 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette