Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar (tengah) dan Dato’ Dr. Mohd Zabri bin Yusoff (kiri) bergambar bersama replika Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 dengan nilai keseluruhan hadiah wang tunai bernilai hampir RM500,000 menanti 138 orang pemenang.

Cabutan kali ini yang akan melibatkan lima cabutan siri dan satu cabutan tahunan hanya memerlukan pendeposit membuka akaun atau membuat penambahan simpanan Simpan SSPN dalam tempoh kempen.

Setiap RM100 bagi Simpan SSPN Prime yang disimpan dalam tempoh kempen akan layak satu cabutan dan RM50 bagi Simpan SSPN Plus pula akan layak mendapat dua cabutan secara automatik.

Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar memuji usaha PTPTN yang sentiasa komited untuk menggalakkan amalan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Usaha ini selari dengan Teras Pertama dalam Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 untuk menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia.

“Justeru itu, kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang merupakan kempen promosi tahunan yang diteruskan lagi pada tahun ini untuk mengalakkan penabungan dan sebagai penghargaan kepada pendeposit Simpan SSPN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar menyempurnakan gimik pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan dan Pengurusan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Mohd Zabri bin Yusoff.

Majlis turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi di PTPTNOfficial dan Youtube rasmi di PTPTN TV.

Mengulas lanjut, Abdul Razak menambah, lebih menarik lagi, kempen kali ini turut memberi kelebihan bilangan cabutan berganda kepada pengguna aplikasi mobile app myPTPTN.

Beliau berkata, pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan RM100 melalui myPTPTN, akan mendapat bilangan cabutan sebanyak lima cabutan manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan RM50 melalui myPTPTN akan mendapat sepuluh cabutan.

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berperanan dalam memupuk budaya menabung bermula pada tahun 2004 dengan menyediakan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN.

“Simpan SSPN terus berada di landasan yang kukuh sebagai produk simpanan yang berdaya saing dan setanding dengan produk simpanan lain di pasaran dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang disediakan.

“Usaha berterusan dilakukan oleh PTPTN agar masyarakat Malaysia memperoleh manfaat daripada perancangan kewangan melalui produk simpanan yang diperkenalkan,” katanya.

Abdul Razak memberitahu, kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan turut dilipatgandakan dalam memastikan manfaat penabungan diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat.

Jelas beliau, PTPTN sentiasa menggalakkan penglibatan rakan strategik dalam memperkasakan penabungan melalui Simpan SSPN.

“Kolaborasi dari semua agensi kerajaan mahupun korporat yang berminat amat dialu-alukan sebagai penyumbang kepada akaun Simpan SSPN.

“Sehingga 31 Disember 2022, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM14.24 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 5.73 juta.

“Pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN boleh dibuat secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi mobile app myPTPTN,” katanya.

Pada majlis sama, PTPTN telah menyampaikan sijil penghargaan kepada lima rakan strategik bagi kerjasama tahun 2022 sebagai simbolik kepada kejayaan kolaborasi dalam memperkasa dan memupuk budaya penabungan melalui Simpan SSPN.

Rakan strategik tersebut ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Veteran ATM (YVATM), Kao Laurier Malaysia dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). – MalaysiaGazette