KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan berusaha untuk meningkatkan kerjasama daripada segi perdagangan, pelancongan, dan pendidikan di Kazakhstan.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Datuk Syed Bakri Syed Abd Rahman berkata, langkah itu perlu bagi memanfaatkan potensi hubungan dua hala antara Putrajaya dan Astana.

Ia dizahirkan kedua-dua pihak dalam pertemuan perpisahan Syed Bakri bersama Menteri Luar Negeri Kazakhstan, Mukhtar Tileuberdi pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, hampir 9,000 pelajar dari Kazakhstan telah menamatkan pengajian di universiti Malaysia, termasuk lebih 12,000 pelancong dari negara itu melawat negara ini setiap tahun.

“Walau bagaimanapun, terdapat banyak potensi yang masih belum diterokai, dan mesti direalisasikan pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Bakri berkata, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dijadualkan mengadakan lawatan ke ibu negara tahun ini, selepas tertangguh selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19.

Ujarnya, sepanjang berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan sejak 2017, beliau telah memudahcara syarikat-syarikat Malaysia di dalam pelaburan mereka di negara itu, antaranya Simen Asia Tengah di Karaganda, dan CaspiOilGas (COG), serta Emir Oil, kedua-duanya di wilayah Mangystau.

Malah menurut Syed Bakri, usaha tersebut sekali gus berupaya meneroka dan merangka proses bagi mengoptimumkan pelaburan syarikat tempatan di negara tersebut.

“Pada masa yang sama, Kedutaan telah membantu syarikat Malaysia yang menunjukkan minat melabur di Kazakhstan dari segi bidang halal menerusi dalam talian perniagaan global, perbankan Islam dan kewangan,” ujarnya.

Dalam pertemuan itu juga, Syed Bakri dianugerahkan pingat ‘Friendship Darjah Kedua’, berdasarkan sumbangan besarnya terhadap hubungan Malaysia- Kazakhstan.

Pada perkembangan sama, Menteri Luar Kazakhstan dalam kenyataan menzahirkan penghargaan atas misi diplomatik Syed Bakri di Astana, sepanjang enam tahun lalu.

Syed Bakri akan pulang ke Ibu Pejabat Wisma Putra, dalam waktu terdekat.

Dalam kenyataan itu, Tileuberdi berkata, mereka menekankan isu-isu kerjasama politik, perdagangan, ekonomi, kebudayaan serta kerjasama dua hala, sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kazakhstan.

Beliau juga menyatakan penghargaan atas sumbangan Syed Bakri terhadap kerjasama politik, perdagangan serta ekonomi kedua-dua negara itu.

Sementara itu, Syed Bakri  memaklumkan berbesar hati dengan penghargaan tersebut dan berharap hubungan dua hala Malaysia- Kazakhstan dapat diperkukuhkan.

“Harapan saya ialah perhubungan baik ini akan terus berkembang dan diperkukuhkan, demi kebaikan dua-dua negara dan rakyat masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast