SPRM ventilator
Muhamad Akmal Salleh

MELAKA – Melaka menangguhkan syarat mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam seluruh negeri susulan penurunan kes Covid-19 sejak dua minggu lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, angka itu menurun daripada 250 kes pada minggu pertama bulan ini kepada 217 kes pada minggu lalu dan terbaharu menjadi 180 kes.

“Ini menunjukkan trend penurunan hasil daripada kesedaran rakyat Melaka yang mahu membendung pandemik Covid-19 susulan sebelum ini kita bercadang untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka sekiranya kes baharu terus meningkat.

“Jadi, kita jangka cadangan itu masih lagi boleh untuk tidak dilaksanakan namun kita amat menggalakkan orang ramai terus mengamalkan pemakaian pelitup muka ditempat tertutup mahupun terbuka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dr Muhamad Akmal pada 3 Januari lalu mengumumkan Melaka akan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam seluruh negeri jika bilangan kes Covid-19 meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang.

Kerajaan negeri, katanya, mengambil maklum dan serius mengenai bilangan kes baharu Covid-19 yang semakin bertambah di seluruh negara ketika ini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bagaimanapun tidak akan teragak-agak untuk kembali mewajibkan peraturan itu sekiranya kes baharu melepasi paras bahaya.

“Kita akan pantau lagi jumlah kes baharu dalam tempoh dua minggu ini dan kalau kes melepasi paras bahaya, kita akan mula wajibkan pakai pelitup muka.

“Rakyat juga digalakkan mengambil suntikan dos penggalak kedua untuk meningkatkan antibodi selain mengamalkan langkah pencegahan fizikal,” katanya. – MalaysiaGazette.