Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua hakim Mahkamah Tinggi yang ketika ini sedang mendengar kes berprofil tinggi membabitkan bekas Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal selepas dilantik ke Mahkamah Rayuan berkuatkuasa esok.

Dua hakim itu ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Mohamed Zaini Mazlan.

HDatuk Collin Lawrence Sequerah

Untuk makluman, Collin Lawrence merupakan hakim yang ketika ini sedang mendengar perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Selain itu juga, Collin juga sedang mendengar perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Ahmad Zahid yang membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Manakala Mohamed Zaini pula mendengar perbicaraan meminda laporan audit 1MDB membabitkan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang mana keputusan akhir kes pada 30 Januari ini.

Dalam kes ini, Mohamed Zaini yang akan memutuskan sama ada Najib dibebaskan atau membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan

Dalam keadaan ini, mesti ramai terfikir apa akan berlaku terhadap kes-kes yang masih belum selesai itu?

MalaysiaGazette difahamkan oleh sumber perundangan, secara kebiasannya, andainya hakim yang mendengar sesuatu kes dilantik ke mahkamah lain selama bertahun-tahun adalah agak mustahil ia akan diberikan kepada hakim lain.

Dalam keadaan begini,  Collin Lawrence dan Mohamed Zaini akan kerap datang ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk memastikan kes yang didengari mereka berjalan lancar sehingga ia selesai.

Mereka tetap akan mendengar kes-kes berkenaan kerana kes itu telah pun berada pada peringkat akhir.

Sebagai contoh, dalam kes saman keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu di  Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lepas, kes itu telah diputuskan oleh Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan.

Ini kerana beliau telah mendengar kes itu ketika kes berkenaan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika itu.

Pelantikan Sequerah dan Mohamed Zaini ke Mahkamah Rayuan bukanlah sesuatu yang berlaku secara ‘tiba-tiba” walaupun khabar angin berkaitan perkara itu tersebar dalam kalangan pengamal media dan perundangan terutamanya mereka yang mengikuti kes kedua-dua hakim itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – MalaysiaGazette