KYIV – Datuk Bandar Dnipro berkata, mungkin tiada lagi mangsa terselamat selepas serangan peluru berpandu Rusia pada hari Sabtu ke atas sebuah bangunan pangsapuri di bandar timur Ukraine.
Serangan itu menyebabkan 30 maut manakala 44 lagi hilang.
Borys Filatov berkata, peluang sangat minimum untuk mencari penghuni yang masih hidup.
Bercakap kepada TV kerajaan di Moscow, Presiden Rusia Vladimir Putin menegaskan bahawa operasi ketenteraan akan dirancang.
Kyiv, Kharkiv dan Odesa turut diserang pada hari Sabtu dalam serangan yang menurut Moscow disasarkan kepada infrastruktur ketenteraan dan tenaga Ukraine.
Serangan dahsyat di Dnipro itu membedil pintu masuk bangunan sembilan tingkat, menyebabkan beberapa tingkat runtuh dan terbakar.
Filatov berkata, kira-kira 70 orang memerlukan rawatan perubatan dan 10 daripada mereka “dalam keadaan sukar”.
Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki menyifatkan serangan peluru berpandu itu “tidak berperikemanusiaan”, sambil menambah Rusia dengan sengaja terus melakukan jenayah perang terhadap orang awam.
Sementara itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata, beliau telah menerima banyak mesej simpati dari seluruh dunia dan mengutuk rakyat Rusia yang berdiam diri terhadap serangan tersebut.
“Anda pengecut kerana berdiam, percubaan anda untuk ‘menunggu’ apa yang berlaku, hanya akan berakhir dengan fakta bahawa satu hari nanti pengganas yang sama akan datang kepada anda,” tegasnya.
Beliau menambah, mangsa yang menjadi serangan itu termasuk seorang gadis berusia 15 tahun dan dua kanak-kanak telah ditinggalkan yatim piatu.
Sudah dua minggu sejak gelombang terakhir serangan Rusia ke atas grid kuasa Ukraine.
Pada hari Sabtu, Zelensky mengakui infrastruktur tenaga di wilayah Kharkiv dan Kyiv telah terjejas teruk.
Berikutan serangan itu, syarikat tenaga negara Ukraine – Ukrenergo buat sementara waktu mengenakan had penggunaan tenaga sepanjang masa untuk semua wilayah.
Menteri Tenaga Ukraine, German Galushchenko berkata, negara itu akan menghadapi kesukaran untuk beberapa hari akan datang.
Dalam pada itu, Ketua NATO, Jens Stoltenberg berkata, Ukraine boleh mengharapkan lebih banyak penghantaran senjata berat dari negara-negara Barat.
“Ikrar terbaharu untuk peralatan perang berat adalah penting – dan saya menjangkakan lebih banyak lagi dalam masa terdekat,” kata Stoltenberg kepada media Jerman.
Serangan peluru berpandu Rusia dilepaskan pada hari yang sama Perdana Menteri, UK Rishi Sunak berkata, kerajaannya akan memberikan kereta kebal Challenger 2 kepada angkatan tentera Kyiv dalam usaha untuk membantu “menolak tentera Rusia”.
Sebagai tindak balas, Moscow berkata, negara itu sudah menyediakan lebih banyak senjata ke Ukraine yang akan memperhebatkan operasi dan mengakibatkan lebih banyak korban awam. – Agensi