KUALA LUMPUR – Pelabur asing memulakan minggu kedua 2023 dengan melupuskan eukiti tempatan sebanyak RM4.7 juta, RM12.0 juta dan RM73.3 juta pada hari Isnin hingga Rabu, sebelum beralih menjadi pembeli bersih secara beransur-ansur pada RM2.3 juta dan RM40.98 juta pada Khamis dan Jumaat.

Ia menjadikan nilai aliran keluar bersih sebanyak RM46.8 juta pada minggu lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini, pelabur asing mencatat aliran masuk bersih RM25.6 juta pada 2023.

MIDF Research berkata, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lepas ialah produk dan perkhidmatan perindustrian pada RM39.2 juta, teknologi (RM24.0 juta) dan penjagaan kesihatan (RM17.0 juta).

Manakala tiga sektor dengan aliran keluar bersih terbesar ialah produk dan perkhidmatan pengguna (-RM77.9 juta), telekomunikasi dan media (-RM26.9 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM20.6).

Sementara itu, pelabur institusi tempatan telah membeli bersih RM339.4 juta minggu lepas.

Mereka juga menjadi pembeli bersih setiap hari minggu lepas dengan aliran masuk bersih tertinggi pada Khamis pada RM119.3 juta dan aliran masuk bersih terendah pada hari Jumaat RM26.7 juta.

Pelabur institusi telah membeli bersih sejumlah RM215.0 juta ekuiti Malaysia pada 2023, lebih tinggi daripada pelabur asing, menurut firma penyelidikan itu.

Minat institusi tempatan ini mungkin disebabkan oleh momentum positif yang berterusan dalam ekonomi domestik dan pengembangan sederhana dalam sektor luar.

Dalam pada itu, pelabur runcit pula beralih kepada penjual bersih setiap hari pada minggu ini dengan aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan pada Khamis iaitu -RM121.6 juta dan aliran keluar bersih terendah adalah pada hari Rabu -RM24.9 juta.

Untuk minggu ini, pelabur runcit telah menjual sebanyak -RM292.6 juta dan setakat tahun ini ia melupuskan -RM240.5 juta ekuiti tempatan.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing pada 13.7%, 34.6% dan 38.1%. – MalaysiaGazette