SEREMBAN – Kesemua waris empat suri rumah yang mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sebelum meninggal dunia menyifatkan inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu bermanfaat dan banyak membantu mereka.
Malah, Che Noor Shamimi Che Awang, 25, yang juga seorang suri rumah berhasrat untuk mula mencarum dengan SKSSR dalam masa terdekat.
“Bila saya sudah menerima penerangan tadi, saya pun rasa nak jugaklah mendaftar untuk program ini.
“Lagi pun, cuma RM10 sebulan, kadarnya tidaklah tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian faedah SKSSR kepada waris empat suri rumah yang disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar di Dewan Raja Melewar, Wisma Perkeso Seremban hari ini.
Dia merupakan anak kelima Allahyarhamah Zainab Mamat, 53, dari Taman Seremban Jaya yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat serangan jantung.
Noor Shamimi menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 manakala adiknya, Che Muhamad Nazmi Farhan, 19, layak menerima Pencen Penakat.
Suami Zainab, Che Awang Che Mat Rani meninggal dunia pada 26 Disember 2004 dan Allahyarhamah meninggalkan seramai lapan anak.
Seorang lagi waris, Shamsuddin Mustaffa, 54, menerima FPM berikutan pemergian isterinya, Allahyarhamah Aniza Mohamad Zin, 47, akibat pendarahan gastrousus pada 5 Januari lalu.
Pesara Pos Malaysia dari Kuala Klawang, Jelebu itu berpandangan, SKSSR merupakan satu inisiatif yang amat bagus terutama kepada golongan suri rumah yang tidak bekerja.
“Apa-apa yang terjadi akan dapat kemudahan dan manfaat sewajarnya daripada PERKESO,” jelasnya yang juga penerima bayaran berkala Pencen Ilat PERKESO (di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 Akta 4) atas sakit gout yang kronik.
Allahyarhamah meninggalkan seorang anak lelaki hasil perkahwinan pertama iaitu Muhammad Adam Harris Muhamad Norlie, 16, yang masih bersekolah dan layak menerima Pencen Penakat di bawah SKSSR.
Sementara itu, Alif Danial Samdin, 18, dari Tampin memuji kecekapan dan sikap proaktif kakitangan PERKESO yang mempermudahkan urusan tuntutan faedah SKSSR bagi ibunya, Allahyarhamah Siti Noraseyah Abu Hassan.
“Saya sebenarnya tak tahu ibu mencarum. Saya dapat tahu sebab PERKESO hubungi saya untuk mendapatkan dokumen berkaitan tidak lama selepas ibu meninggal dunia.
“Saya pun tidak perlu datang ke sini (Seremban), mereka yang datang mencari saya,” katanya yang layak menerima FPM dan Pencen Penakat di bawah SKSSR.
Dia merupakan anak tunggal Siti Noraseyah, 42, yang meninggal dunia akibat kanser payu dara dan sedang menuntut di GiatMara Kuala Pilah dalam bidang teknologi motosikal.
Dalam pada itu, V. Emmanuel Vishnu Steven layak menerima FPM setelah ibunya, M. Anjalai, 51, dari Taman Meranti, Bahau meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 25 Disember lalu.
Dia yang merupakan anak bongsu dari empat beradik juga hanya mengetahui ibunya mencarum dalam SKSSR apabila dihubungi PERKESO selepas wanita itu meninggal dunia.
Emmanuel memberitahu, mendiang ibunya dahulu mencari rezeki dengan menjual barangan lusuh bagi menyara kehidupan. – Malaysiagazette