Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Pemimpin politik termasuk menteri Kabinet perlu membuat pengisytiharan aset secara telus bagi mengelak  dijadikan gimik politik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berpendapat, pengisytiharan harta yang dilakukan sebelum ini hanya bersifat sandiwara semata-mata.

Jelas beliau, ini kerana terdapat jumlah yang didedahkan pemimpin politik tidak menggambarkan aset dan kekayaan sebenar dimiliki mereka.

“Saya tidak faham mengapa anda menjadikan ini sebagai isu utama? Pengisytiharan aset adalah satu sandiwara pada masa lalu kerana orang boleh mempunyai ratusan juta tetapi hanya mengisytiharkan RM11, RM12 juta.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan bahawa parameter jelas dan saya sedang berbincang dengan agensi seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)
untuk menjadikan perkara ini lebih telus. Jika tidak ia akan menjadi ejekan dan sindiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 “Membangun Malaysia Madani” di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada jemaah menterinya sudah mengisytiharkan harta seperti janji Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto itu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Manifesto itu berjanji meneruskan amalan pengisytiharan harta untuk semua menteri, ahli Parlimen, penjawat awam kanan, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui terkejut selepas melihat angka dalam fail pengisytiharan aset yang sebenar.

“Kebanyakan orang sebenarnya tidak memberitahu kebenaran. Anda berpuas hati, rakyat berpuas hati, masyarakat berpuas hati tetapi ia tidak menunjukkan kekayaan sebenar.

“Kita perlu melihat prosesnya dengan keutamaan supaya apa jua keputusan yang dibuat, ia lebih bertanggungjawab, telus dan bukannya gimik politik,” katanya.

Sebelum ini,Pengerusi C4, Terence Gomez berkata, ahli Parlimen Pakatan Harapan juga mesti mengisytiharkan harta pasangan masing-masing dan ahli keluarga berusia 18 tahun ke atas sebagaimana dijanjikan dalam manifesto.

Beliau berkata, mengisytiharkan harta tidak sepatutnya menjadi amalan sekali sahaja selepas pilihan raya atau seseorang itu dilantik memegang jawatan menteri.

Pengisytiharan harta perlu dilakukan setiap tahun, justeru rakyat dapat menentukan sekiranya ada kemewahan dikumpul ketika dalam jawatan, katanya.

Ketika PRU15, calon dari PKR, Muda dan PSM telah mengisytiharkan harta mereka manakala DAP menyatakan hanya mereka yang menjadi calon dan menang diperlukan mengisytiharkan aset. – MalaysiaGazette