TAR UMT
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersama bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (tiga kiri) dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua kiri) bergambar dengan replika cek selepas mengadakan lawatan kerja di Tunku Abdul Rahman University of Management Technology, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta untuk Tunku Abdul Rahman University & Management Technology (TAR UMT) di sini, sekali gus mengakhiri polemik pendanaan yang menyelubungi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, peruntukan dalam bentuk geran tahunan bagi perbelanjaan mengurus itu telah diluluskan secara serta-merta oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, dana tersebut akan dipindahkan kepada pengurusan universiti esok.

“Kita tahu bahawa isu dana untuk TAR UMT ini telah menjadi satu polemik beberapa tahun yang lalu dan atas semangat Kerajaan Perpaduan hari ini kita tak mahu melengahkan atau memanjangkan polemik ini.

“Kita nak memberikan satu mesej bahawa pembiayaan atau sokongan daripada kerajaan kepada TAR UMT akan diteruskan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MCA merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai; bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Chan Kong Choy dan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.

Pada 5 Disember 2012, Kabinet telah memutuskan untuk memberikan peruntukan tahunan dalam bentuk geran padanan dengan had siling RM60 juta kepada TAR UMT yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti TAR (TAR UC).

Ketika ditanya sama ada DAP dan MCA akan meneruskan kerjasama dalam soal pendidikan kaum Cina, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP cuma menjawab: “Hari ini saya datang sebagai menteri, bukan pemimpin parti.”

Sementara itu, Ka Siong menyifatkan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan itu sebagai ‘angpau’ menjelang Tahun Baharu Cina.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Anthony yang memberi komitmen untuk menyalurkan dana yang dianggap penting untuk pendidikan generasi muda.

“Kita mendukung hasrat untuk membangunkan agenda pendidikan tanpa mengira latar belakang atau agenda politik.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan. Sejak 1969 hingga 2022, kita telah menerima sebanyak RM1.5 bilion,” jelasnya.

Ka Siong yakin dengan penyaluran peruntukan tersebut, TAR UMT berupaya untuk terus memberi pendidikan terbaik dan berkualiti kepada para pelajar dengan kadar bayaran yang munasabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast