Johari Abdul. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Keputusan tiada pengosongan empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli Bersatu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lepas, adalah muktamad.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, segala justifikasi dan alasan berhubung keputusan itu, telah dijelaskan olehnya dalam surat bertarikh 16 Januari yang dihantar kepada Bersatu.

“Seperti yang saya dah jawab (dalam surat kepada Bersatu)…itulah dia (keputusan), muktamad. Terpulang kepada Bersatu (untuk rujuk ke mahkamah), mereka ada hak dan boleh menggunakan segala hak mereka,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah iaitu Papar, Batu Sapi, Ranau serta Sipitang, dan bercadang untuk merujuk perkara itu ke mahkamah.

Muhyiddin dalam kenyataan hari ini, mendakwa keputusan dibuat Johari adalah berdasarkan tafsiran Fasal 10.2.3 Perlembagaan parti Bersatu, namun menurutnya Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti, justeru terkhilaf dalam membuat tafsiran serta keputusan.

Menurut Muhyiddin, dalam surat bertarikh 16 Januari lepas, Johari memberi alasan dengan mentafsir fasal itu, empat Ahli Parlimen berkenaan menjadi ahli langsung GRS pada 27 Oktober 2022 dan mendapati keahlian mereka dalam Bersatu gugur serta-merta pada waktu berkenaan, sebelum mereka bertanding dalam PRU15 pada 19 November 2022.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu itu berkata, fasal berkenaan tidak terpakai kepada empat Ahli Parlimen berkenaan kerana mereka adalah ahli Bersatu dan parti itu adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu.

Justeru beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘parti politik lain’ mengikut semangat dan intipati fasal berkenaan.

Isu pengosongan empat kerusi Parlimen itu timbul, selepas bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah membuat sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS, pada 10 Disember lepas.

Susulan itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan pada 29 Disember berkata, parti itu menghantar notis pemakluman kepada Johari, untuk mengesahkan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka kerusi Parlimen berkenaan, selaras Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam notis berkenaan, Ahli Parlimen yang dinamakan ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang). – Bernama