KUALA LUMPUR – Ambank Research menjangka ringgit akan mengakhiri tahun 2023 dalam julat 4.20-4.30 berdasarkan pandangan bahawa dolar AS telah mencapai paras tertingginya.
Dalam laporan Prospek Ekonomi 2023, firma penyelidikan itu berkata asas ringgit masih kukuh berdasarkan pemulihan dalam sektor pelancongan, yang menyokong kekuatannya.
Memandangkan sektor pelancongan mencatatkan peningkatan, Malaysia dijangka menyaksikan defisit yang lebih kecil dalam akaun perkhidmatan, yang boleh memberi prospek yang baik kepada ringgit.
Katanya, aspek asas ringgit turut disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara, dengan pertumbuhan ekonomi domestik pada 2023 dijangka pada sekitar 4.5 peratus, bermakna firma tidak melihat kemelesetan di Malaysia berbanding kemelesetan yang dijangka di negara-negara utama lain.
Selain itu, inflasi di negara ini berada pada tahap terurus berbanding negara-negara utama manakala langkah awal yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia memastikan inflasi dikawal dengan baik tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Kesimpulannya, walaupun dolar AS lemah kekal sebagai pandangan garis dasar, firma penyelidikan itu tidak berpendapat dolar AS perlu diniagakan pada sekitar atau di bawah paras 4.00 berikutan itu menunjukkan penilaian berlebihan ringgit.
Mengenai Ringgit Sovereign Bond Issuance, firma itu berkata berdasarkan defisit fiskal RM99.1 bilion yang dijangka pada 2023 dan tempoh matang sebanyak RM80.9 bilion, ia menyaksikan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) sebanyak RM175 bilion hingga RM185 bilion pada 2023.
Dari segi permintaan, dana institusi tempatan yang terdiri daripada pencen, insurans dan institusi lain mempunyai kapasiti untuk menyerap berdasarkan gabungan saiz dana melebihi RM1.5 trilion mengikut anggaran.
“Sokongan daripada pelabur domestik adalah mencukupi pada pandangan kami, jika faedah daripada dana asing kekal rendah.
“Bagaimanapun, kami menjangka faedah daripada dana asing akan pulih berdasarkan pandangan kami bahawa dolar AS telah mencapai paras tertinggi dan Rizab Persekutuan AS berada pada akhir kitaran kenaikan kadarnya,” katanya.
Selain itu, firma tersebut tidak menjangka sebarang keputusan yang tidak menggalakkan yang melibatkan penilaian kredit negara Malaysia.
“Kami turut mendapati bahawa dari perspektif pelabur asing, tiada kebimbangan mengenai kualiti kredit negara Malaysia seperti yang dapat dilihat daripada tebaran CDS USD lima tahun yang berada di bawah purata jangka panjangnya,” katanya.
Bagi Terbitan Bon Korporat Ringgit, ia dijangka pada sekitar RM100 juta hingga RM110 bilion, di bawah purata lima tahun RM114 bilion.
Jangkaan ini didorong oleh momentum ekonomi yang lembap dijangka pada 2023 tetapi pada masa yang sama, pembiayaan dalam kalangan korporat dalam pasaran modal hutang akan berterusan.
“Pembiayaan infrastruktur dan pembiayaan berkaitan kawal selia akan terus menyokong pasaran bon utama,” katanya. – BERNAMA