TEMERLOH – Seorang lelaki warga tempatan ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang bersama sebuah lori penuh muatan rokok seludup bernilai lebih RM2 juta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Pahang pada 5 Januari lalu.
Menurut Pengarah Kastam Negeri JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan, lori itu diletakkan di tempat parkir kenderaan berat dan dipercayai dalam perjalanan daripada salah sebuah negeri di Pantai Timur menuju ke ibu kota.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas lori tersebut telah menemukan muatan berisi rokok yang disyaki barang larangan import dengan anggaran sebanyak 2,860,000 batang rokok yang melibatkan nilai anggaran sebanyak RM258,800.00 dan jumlah duti serta cukai dianggarkan sebanyak RM1,910,480,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Temerloh hari ini.
Tambah Wan Apandi, kegiatan terebut disyaki dilakukan oleh satu sindiket penyeludupan melalui salah satu pintu masuk pelabuhan negara di mana modus operandinya adalah menyembunyikan rokok di dalam lori yang mempunyai nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu berurusan dengan barang-barang tidak berkastam di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dengan disedari.
“Sekiranya bersalah, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM 100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Beliau berkata, kesemua barang rampasan serta lori terbabit telah dibawa ke stor Cawangan Penguatkuasaan Temerloh untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam supaya tidak terlibat dan memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
Tegas Wan Apandi, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette