KUALA LUMPUR – Kadar hutang negara yang mencecah hampir RM1.5 trilion tidak akan memberi kesan kepada penarafan kredit negara oleh agensi penarafan.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, ini kerana kadar siling hutang negara dikira berdasarkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) yang kini sudah semakin menurun.
Katanya, siling hutang negara masih pada kadar 65 peratus tetapi, hutang berkanun kini berada pada tahap 60 peratus.
Ini bermaksud negara masih ada lagi mempunyai ruang, ujarnya.
“Kita tidak boleh mengambil kira hutang sektor swasta kerana itu bukanlah tarif kadar hutang kita. Siling hutang kita dari segi arismatik adalah MSG, GII dan MRTB yang dibahagikan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) norminal.
“Jadi, kalau KDNK norminal pada tahun lepas meningkat 11.3 peratus atau 1.7 trilion, ini bermaksud hutang berkanun negara mungkin sedikit menguncup,” katanya pada sesi Pembentangan Unjuran Ekonomi 2023 di sini, hari ini.
Sementara itu, Firdaos berkata, agensi penarafan turut akan mengambil kira negara-negara berdaulat dan hutang berdaulat yang lain semasa membuat penarafan berkenaan.
“Mereka bukan melihat kepada Malaysia sahaja. Tapi, kalau negara yang sama seperti kita seperti Malta dan Botswana menyaksikan kadar pertumbuhan yang lebih baik, jadi mungkin mata kita akan jatuh sedikit,” jelasnya.
Ditanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam Bajet 2023, beliau berkata, perkara itu mungkin terlalu awal untuk diperkenalkan oleh kerajaan baharu pada tahun ini.
Bagaimanapun katanya, adalah penting untuk memperkenalkan GST semula walaupun terdapat kekurangan padanya.
Dalam pada itu kata beliau, Bank Islam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.5 peratus tahun ini, berbanding jangkaan pertumbuhan pada 2022 pada 8.1 peratus. – MalaysiaGazette