Kalaithasan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini atas kesalahan memberi rasuah kepada seorang anggota polis dua tahun lalu.

BUTTERWORTH – Seorang pemandu van kilang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada seorang anggota polis dua tahun lalu.

Tertuduh M. Kalaithasan, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara 10 hari bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda RM10,000, dia boleh penjara lima bulan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil.

Ia sebagai dorongan untuk mengelak daripada ditahan atau disaman kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (NO.3) 2021 iaitu membawa lebih muatan orang melebihi kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP PKP 3.0.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 28 Jun 2021 kira-kira pukul 5.10 petang di Bukit Tengah di dalam Daerah Seberang Perai Tengah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Sekeyen 24 Akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Afiqa Liyana Rozman manakala tiada peguam mewakili tertuduh. – MalaysiaGazette