KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dinasihatkan supaya berhenti mencipta kontroversi liar semata-semata untuk menaikkan rating peribadinya.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin secara sinis berkata, tiada apa yang perlu dibuktikan oleh Muhammad Sanusi kerana beliau memang jaguh bertarung dan sangat berani ala ‘gedebe’.
“Tapi bermulalah untuk menjadi seorang pentadbir yang dihormati dan utamakanlah rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau memberi pesanan itu setelah mendengar khabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ‘memberi salam atau sapaan’ kepada kerajaan negeri Kedah semasa pesawat yang membawanya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim, Alor Setar kelmarin.
Setelah mendarat, Anwar seterusnya ke Perlis untuk bertemu dengan penjawat awam di negeri berkenaan.
Shaiful Hazizy memberitahu, perkembangan itu dianggap sesuatu yang dingin dan membimbangkan untuk rakyat Kedah.
Beliau mendakwa, situasi itu berpunca daripada tingkah laku yang tidak ‘beradab’ bermula dengan mainan siapa yang ‘koyak’ atau pun bertahan menerima kritikan politik.
“Kadang-kadang kita lupa selain daripada ghairah menjadi ‘samseng jalanan’ kita juga ada pemimpin yang menjaga sebuah kerajaan dan rakyatnya,” jelasnya.
Shaiful Hazizy mengingatkan rizab kerajaan negeri Kedah sebanyak RM600 juta tidak mampu memberi kemerdekaan kewangan kepada negeri itu tanpa kerjasama kerajaan Persekutuan.
Beliau menambah, tanpa kerjasama kerajaan Persekutuan, banyak inisiatif pelaburan dan pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan.
“Jadilah resmi Perlis, bertemu dan menghulurkan salam kerjasama dengan semangat setiakawan walaupun berbeza sepanduk dan bendera,” katanya. – MalaysiaGazette