Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof menunjukkan rampasan ganja hasil serbuan yang dilakukan ke atas sebuah kondominium di Bandar Sierra, Puchong.

SEPANG – Seorang lelaki berbangsa Arab yang disyaki mengedar dadah di sekitar Lembah Klang ditahandalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Sierra, Puchong pada Ahad lalu,

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam serbuan itu polis menemui tiga paket plastik mengandungi leraian daun kering disyaki ganja, empat paket ketulan mampat disyaki ganja dan dua ketulan mampat daun kering dibaluti foil aluminium disyaki ganja seberat 2.1 kilogram.

Katanya, soal siasat ke atas suspek berusia 23 tahun itu membawa pemenuan 213 ketulan mampat dedaun kering berbalut disyaki ganja seberat 219.16 kilogram dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir kondominium tersebut.

” Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah seberat 221.26 kilogram bernilai RM663,798,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Wan Kamarul Azran, siasatan mendapati dadah yang diperoleh daripada negeri di utara Semenanjung itu adalah untuk untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Tambah beliau, suspek yang dilibatkan dalam ujian saringan air kencing didapati positif Methaphetamine dan Amphethamine serta THC.

“Siasatan lanjut polis mendapati suspek seorang bekas pelajar kolej swasta di negara ini pada tahun 2018 hingga 2020 sebelum pulang ke negara asal dan suspek kembali ke negara ini menggunakan visa pelancong yang telah tamat 17 Januari 2023.

“Suspek juga merupakan dalang serta pengedar dalam kegiatan dadah ini dan dia hanya mensasarkan pelanggannya menerusi rangkaian yang diwujudkan dan terdiri daripada rakan senegara untuk berurus niaga dadah dan baru empat bulan dia aktif melakukan kegiatan ini,” ujarnya.

Wan Kamarul Azran berkata, polis sedang memburu seorang lagi suspek warga asing yang disyaki bersubahat dalam kegiatan pengedaran dadah itu.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta 15 kali sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast