Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan mahkamah selepas permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta bersambung 20 hingga 22 Februari depan di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan memberi tambahan sehari lagi bagi mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak bagi menyemak semula sabitan dan hukuman penjara terhadapnya berhubung kes SRC International.

Sebelum ini, mahkamah memutuskan untuk mendengar semakan tersebut selama tiga hari iaitu pada 19, 20 dan 26 Januari yang kemudiannya memutuskan untuk mengosongkan dua tarikh iaitu pada 20 dan 26 Januari kerana hakim akan mendengar kes lain.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai panel lima hakim menetapkan sambungan kes pada 20, 21 dan 22 Februari depan menjadikan keseluruhan selama empat hari.

Dalam pendengaran hari ini, ketua peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah mengenai tindakan Mahkamah Persekutuan yang tidak memberikan tempoh sewajarnya kepada peguam baharu Najib, Hisyam Teh Poh Tei untuk membuat persediaan.

Ini selepas Najib membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Muhammad Shafee.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media mengenai perkembangan kes permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang membabitkan anak guamnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2023.

Beliau turut menyatakan bantahan yang dibuat terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk terus menjadi hakim dalam kes berkenaan selepas terdapat bukti suami beliau, Datuk Zamani Ibrahim mempunyai prasangka buruk terhadap Najib.

“Perkembangan sedemikian amat membimbangkan memandangkan fakta bahawa Datuk Zamani Ibrahim jelas mempunyai sentimen negatif terhadap kepimpinan pemohon (Najib) yang merupakan Perdana Menteri dan telah membuat kesimpulan bahawa pemohon telah memasukkan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi pemohon dan membuat kesimpulan bahawa pemohon telah melakukan kesalahan jenayah.

“Pada 18 Ogos 2022, Hisyam sekali lagi memohon untuk
penangguhan atas alasan bahawa dia memerlukan masa yang munasabah untuk sediakan hujah penuh untuk Rayuan Utama.

“Mahkamah Persekutuan Panel sekali lagi menolak permohonan penangguhan yang membuatkan Hisyam tidak mempunyai pilihan lain selain melepaskan diri daripada mewakili pemohon,” kata Muhammad Shafee.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Turut disenaraikan dalam panel terbabit ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Susulan itu, Najib diperintah untuk menjalani hukumannya di Penjara Kajang pada hari yang sama.

Najib, kemudiannya memfailkan semakan terhadap keputusan berkenaan atas alasan haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan pada 6 September 2022.

Beliau memohon agar mahkamah tertinggi negara, menyemak keputusan panel lima hakim berkenaan dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utamanya diketepikan, dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan itu.

Najib turut memohon untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Rayuan dan membatalkan perbicaraan kes itu.

Ia turut membabitkan semakan keputusan mahkamah yang menolak permohonan peguamnya untuk menangguhkan prosiding dan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya. – MalaysiaGazette