Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang membabitkan anak guamnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pendengaran semakan keputusan mahkamah berkaitan SRC International Sdn Bhd. yang difailkan Datuk Seri Najib Razak hari ini bermula dengan bantahan terhadap pelantikan salah seorang daripada lima panel hakim.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu membantah pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Menurut Muhammad Shafee, panel bagi mendengar semakan keputusan kes Najib seharusnya membariskan hakim-hakim daripada Mahkamah Persekutuan sahaja.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974 komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.

Di bawah seksyen itu, setiap prosiding di Mahkamah Persekutuan hendaklah didengar dan diputuskan oleh tiga orang hakim atau bilangan hakim yang tidak sekata yang lebih besar sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Hakim Negara dalam mana-mana kes tertentu.

Mahkamah yang bersidang pada 9.42 pagi tadi berhenti rehat pada pukul 12 tengah hari.

Keputusan terhadap bantahan Muhammad Shafee akan diketahui sebaik mahkamah bersidang semula pada pukul 2.00 petang.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli mengetuai panel lima hakim terhadap permohonan semakan semula itu.

Abu Bakar satu-satunya Hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik.

Tiga lagi panel merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Pendengaran semakan itu yang dibuat mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 didengar panel berlainan daripada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 24 Ogos tahun lalu.

Ia berikutan keputusan panel hakim berkenaan terhadap Najib yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan iaitu mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib mahukan mahkamah tertinggi negara menyemak keputusan panel lima hakim berkenaan dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Najib memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.

Turut hadir isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka Datuk Mohd. Nizar.-MalaysiaGazette