JASIN – “Saya sempat mengintai di celah tingkap selepas terdengar suara Mak Misah (jiran) mengerang kesakitan sebelum terlihat kelibat lelaki berkulit gelap keluar dari pintu dapur rumahnya kira-kira jam 2.10 pagi tadi.
“Waktu itu, saya sudah mengesyaki berlaku perkara buruk namun tidak sangka suara terakhir warga emas wanita berusia 91 tahun yang saya dengar itu rupanya sudah meninggal dunia akibat disamun,”.
Itu diceritakan saksi kejadian samun dan bunuh seorang warga emas di rumahnya di Kampung Pulai Darat, di sini pagi tadi sebelum meminta bantuan seorang lagi jirannya untuk menghubungi polis.
Menurutnya, sebelum kejadian dia yang tinggal bersendirian tersezz dcrcudar dari lena sekitar jam 1.50 pagi sebelum ke dapur.
“Ketika sedang minum air, saya tiba-tiba terdengar suara Mak Misah (jiran) mengerang kesakitan dari arah pintu dapurnya yang mengadap rumah saya.
“Kira-kira 20 minit selepas itu, saya ternampak kelibat seorang lelaki berkulit gelap dalam keadaan tergesa-gesa berlari keluar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa warga emas itu, saksi berkenaan berkata dia mengekori dari jauh lelaki terbabit yang menuju ke jalan besar di hadapan lorong memasuki rumah.
“Selepas melihat keadaan selamat, saya segera memanggil jiran sebelah dan menceritakan kejadian itu sebelum dia menghubungi polis,” katanya.
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian selepas menerima laporan sekitar jam 3.54 pagi tadi.
“Sebaik tiba, sepasukan polis mendapati mangsa, Misah Md Amin, 91, dalam keadaan terbaring di lantai dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia pegawai perubatan.
“Bertindak hasil maklumat, polis kemudian berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia 20 tahun di kawasan berhampiran kira-kira pukul 8 pagi tadi,” katanya.
Tambahnya, suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan berkaitan kes samun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette.