Artikel ini ditulis pembaca Malaysia Gazette
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali muncul di media massa apabila mengeluarkan kenyataan berbaur kritikan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahathir melemparkan kritikan terhadap pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mendakwa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.
Rata-rata tokoh politik lain membidas kembali kenyataan Mahathir dan melabel beliau sebagai ”dua kali lima” sahaja. Selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Mahathir dilihat menjauhkan diri seketika dari politik. Namun beliau kembali memuat naik kenyataan mengkritik kerajaan pada penghujung Disember lalu.
Figura yang digembar-gembur akan terus bersara selepas kalah pada PRU-15, masih kekal meneruskan agendanya sebagai pembangkang. Kenyataan Mahathir pada asasnya hanya memulangkan paku buah keras kepada dirinya sendiri.
Mahathir mengecam tindakan Anwar berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri. Mahathir mendakwa tidak sepatutnya pelantikan itu berlaku memandangkan Ahmad Zahid mempunyai kes mahkamah.
Imbas kembali ketika Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh, beliau juga membuat perkara sama apabila memilih Orang Kena Tuduh (OKT) sebagai Menteri dalam Kabinetnya ketika itu. Mahathir pada masa itu melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan meskipun berdepan kes rasuah.
Tindakan Mahathir melantik Guan Eng disifatkan sebagai menjaga hubungan baik dengan DAP. Maka, tidak wajar bagi Mahathir untuk melemparkan kritikan sedemikian. Mahathir mengkritik Anwar tidak mampu untuk mengemudi isu-isu ekonomi negara. Namun beliau harus sedar bahawa Anwar hanya menjadi Perdana Menteri dalam tempoh sebulan.
Kita tidak boleh nafikan pembangunan yang dicapai oleh negara di bawah Mahathir namun beliau perlu sedar zaman sudah berubah. Beri ruang kepada kerajaan baharu untuk menjalankan tanggungjawabnya. Sebagai senior, Mahathir sepatutnya memberikan idea yang konstruktif kepada Anwar dalam menjalankan tadbir urus ekonomi negara.
Soal ekonomi seperti inflasi bukan tercetus secara faktor dalaman tapi ‘hadir’ menerusi beberapa faktor luaran yang sukar dielak. Anwar telah melakukan pelbagai langkah bagi mengurangkan beban rakyat dalam tempoh sebulan pemerintahannya seperti pengekalan tarif elektrik, potongan cukai kepada perumahan kos rendah dan bantuan tunai langsung.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Mahathir sejak 1971 dibentuk bagi mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Malangnya, DEB hanya mencetuskan sentimen polarisasi kaum selama berdekad lamanya. Tambahan pula, jurang antara golongan kaya dan miskin semakin besar. Pada Ogos lalu, Mahathir turut mengakui DEB gagal merapatkan jurang ekonomi meskipun pelaksanaanya telah dibuat selama berpuluh tahun.
Selain itu, langkah Mahathir untuk memberi tumpuan kepada bidang perindustrian telah memberi impak buruk kepada sekuriti makanan seperti berlaku hari ini. Kekurangan bekalan makanan asas seperti telur dan ayam di pasaran tempatan merupakan antara kesan buruk akibat keengganan Mahathir memperkasakan bidang pertanian sejak era pemerintahannya.
Mahathir juga gagal dalam banyak aspek ketika menjadi Perdana Menteri. Beliau perlu melupakan kegemilangan lampau dan berikan peluang kepada orang lain untuk mentadbir negara. Tidak semestinya negara tidak akan maju tanpa Mahathir. Cadangkan idea yang membina. Hentikan kritikan kerana ini bukan masa sesuai untuk bertelagah mengenai politik. Tahun 2023 adalah mencabar bagi rakyat yang bakal berdepan konflik ekonomi yang buruk.
Ahmad Zhafran Dzulkarnain
Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette