Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang guru sekolah mengalami kerugian sebanyak RM 23,950 setelah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang dan skim pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sri Ramli Mohd Yoosuf berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima laporan Polis dari daerah Raub dan Kuantan berkenaan mangsa.

“Wanita berusia 41 tahun itu telah melihat iklan pinjaman wang di laman Facebook dan berminat untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM15,000.

“Mangsa diminta untuk menyerahkan maklumat peribadi seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, bil air dan maklumat ctos untuk membuat semakan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Ramli, suspek telah bersetuju memberi pinjaman selama empat tahun dengan kadar bayaran bulanan RM362.

“Mangsa telah diminta membuat pembayaran duti setem, surat perjanjian dan juga proses penerimaan wang pinjaman sehingga membuat 11 kali transaksi sebanyak RM 23,950 kepada 11 akaun bank yang berbeza,” jelasnya.

Tambah Ramli, dalam kejadian lain, seorang lelaki berumur 43 tahun telah melihat satu iklan di Facebook pelaburan Amundi dan telah menekan link yang diberikan.

“Mangsa yang merupakan pemandu bas sekolah telah berminat dengan Pakej Basic iaitu mengeluarkan wang modal RM600 dan akan mendapat pulangan sebanyak RM 8,500 dalam tempoh selama tiga hari.

“Pada 11 Januari, mangsa telah membuat enam kali transaksi yang berjumlah keseluruhan RM21,034.00 ke satu akaun bank yang diberikan oleh suspek tetapi tidak menerima sebarang pulangan sehingga ke hari ini,” kata beliau.

Ramli berkata, pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dalam pautan. – MalaysiaGazette