KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Op Selamat yang dijalankan dalam tempoh 10 tahun pada musim perayaan bertujuan bagi melancarkan lalu lintas dan mengurangkan kemalangan dan meminimumkan kes kemalangan serta mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah.
Ia bukan untuk mengganggu pengguna jalan raya tetapi bagi melancarkan lalu lintas dan mengurangkan kes kemalangan, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan satu artikel minda pengarang bertajuk ‘JPJ, Polis jangan ganggu perjalanan musim raya’ oleh sebuah akhbar tempatan.
Artikel itu menyatakan tindakan penguatkuasaan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya di musim perayaan.
Mat Kassim berkata, Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina tahun ini berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Januari ini memberi tumpuan di kawasan panas yang dijangka berlaku kesesakan akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.
Tambah beliau, semua petugas PDRM juga akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna.
“Seluruh jentera PDRM di lapangan melibatkan anggota-anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (urb) serta rondaan bit, akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran.
“Pengguna jalan raya diminta agar memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan.
“Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” tegasnya.- MalaysiaGazette