Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Selepas Melaka United, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tampil mendedahkan jumlah hutang tertunggak Sarawak United FC pula.

PFAM dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah keseluruhan tunggakan gaji pemain Sarawak United adalah lebih RM400,000.

Ujarnya, pihaknya sudah menghantar laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.

Selain itu, PFAM juga sudah menghantar notis terbaru kepada Sarawak United pada 17 Januari lalu supaya tunggakan gaji yang kini mencecah empat bulan segera dilunaskan.

“Masalah tunggakan gaji yang berlarutan ini bermula sejak September tahun lalu dan kebanyakan pemain Sarawak United FC sudah pun menamatkan tempoh kontrak bersama pasukan itu.

“Namun, sehingga kini masih menunggu tunggakan bayaran dilunaskan oleh pihak Sarawak United FC.

“Walaupun pihak Sarawak United FC memberikan maklum balas terhadap notis yang dihantar PFAM, namun satu langkah konkrit untuk membayar segala tunggakan gaji kepada pemain dilihat masih tidak jelas dan perkara ini perlu diberi perhatian dengan lebih serius,” katanya.

Sebelum ini, PFAM turut mendedahkan tunggakan gaji pemain Melaka United berjumlah RM2.3 juta membabitkan tempoh enam bulan iaitu dari Julai hingga Disember tahun lalu.

Selain itu, PFAM turut meminta Sarawak United FC menghormati tempoh masa pembayaran gaji yang sudah dipersetujui seperti dalam kontrak.

Katanya, pemain terkesan akibat tidak mempunyai pendapatan yang sepatutnya diterima bagi menguruskan komitmen bulanan.

“PFAM memandang serius terhadap isu tunggakan yang berlarutan ini kerana bukan sahaja perkara ini menjejaskan kebajikan dan hak pemain sebaliknya PFAM berhasrat untuk mengelakkan situasi ini untuk terus berlaku pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette