shaiful hazizy zainol abidin Mou REE sindiket
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. yang menandatangani memorandum persefahaman bersama kerajaan negeri Kedah bagi kegiatan melombong unsur nadir bumi (REE) pada 10 Januari lalu baru sahaja ditubuhkan pada 1 September 2022.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membuat pendedahan itu berdasarkan hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut beliau, fakta yang mengejutkan itu menimbulkan keresahan orang ramai tentang kaedah tata urus dan kelola kerajaan negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu tersebut.

“Perlu juga diingat, rakyat Kedah sebelum ini telah dikejutkan dengan pendirian Sanusi untuk meneruskan MoU penerokaan REE walaupun kementerian berkaitan masih belum menggariskan penetapan prosedur operasi standard (SOP) rasmi bagi aktiviti perlombongan sumber mineral tersebut.

“Kedah bukan satu-satunya negeri yang kaya dengan sumber REE namun kenapa hanya negeri Kedah yang paling tergesa-gesa mahu memulakan eksplorasi walaupun belum selesai dimuktamadkan SOP yang berkaitan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

REE
Sumber: Facebook Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Sehubungan itu, Shaiful Hazizy meminta kerajaan negeri  supaya tidak bersikap tamak dan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh kementerian seperti yang dilakukan oleh negeri-negeri lain yang mempunyai sumber REE.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) telah menandatangani MoU dengan Jangka Bakat Minerals dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. dari China.

Majlis menandatangani MoU yang disaksikan oleh Muhammad Sanusi itu adalah berkaitan dengan usaha meneroka, bantuan teknikal dan melombong REE di Kedah

MBI Kedah diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Sobri Osman bersama Pengarah Urusan Jangka Bakat Minerals, Datuk Liana Khalid dan Pengurus Besar Xiamen Tungsten, Liu Wenli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast