KUALA LUMPUR – Seramai 74 individu ditangkap dan 61 buah syarikat disiasat dalam ‘Ops Hire’ yang dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan dana awam.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, siasatan mendapati jumlah yang terlibat dengan jenayah ini adalah sebanyak RM87,980,757.29.

“Sehingga 19 Januari 2023, seramai 27 individu telah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka di bawah kesalahan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana nilai keseluruhan tuntutan palsu adalah RM4,927,440,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, wang hasil daripada aktiviti jenayah ini berjumlah RM3 juta juga telah berjaya dilucuthakkan kepada kerajaan.

Katanya, ramai lagi suspek dijangka didakwa dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas mereka diselesaikan.

Hishamuddin berkata, walaupun ramai suspek telah didakwa, siasatan ke atas isu itu tidak berakhir di sini sahaja dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu-individu atau syarikat-syarikat yang disyaki terlibat melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana Kerajaan di bawah program PENJANA.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan yang melibatkan kolaborasi strategik antara SPRM bersama PERKESO digerakkan sejak Julai 2022 dan dilaksanakan di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Tambah beliau, fokus siasatan adalah terhadap syarikat-syarikat yang disyaki melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah program PENJANA melalui PERKESO.

Jelasnya, jumlah peruntukkan yang disalurkan oleh Kerajaan untuk program PENJANA ini adalah RM3.5 bilion dalam tiga peringkat iaitu PENJANA KERJAYA 1.0 (1 Jun 2020 – 20 Disember 2020), PENJANA KERJAYA 2.0 (21 Disember 2020 – 30 Jun 2021) dan PENJANA KERJAYA 3.0 (fasa pemulihan) iaitu dari 15 Jun 2021 sehingga 31 Disember 2023.

“Hasil siasatan mengesahkan bahawa individu-individu yang didakwa sebagai kakitangan kepada syarikat suspek adalah tidak dapat dibuktikan dan program latihan juga tidak dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana tuntutan,” ujarnya. – MalaysiaGazette