DAVOS, Switzerland – Selepas hampir sedekad sejak rundingan ditangguhkan secara rasminya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini sedang menilai semula perjanjian perdagangan bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU).
“EU berminat untuk menyambung semula rundingan. Kami terbuka. Kami perlu melihat semula perbincangan sebelum ini. Kami sedang membuat semakan dan menilai situasi,” kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz apabila ditanya sama ada Malaysia akan melaksanakan semula rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA).
Apabila proses itu selesai, perkara tersebut akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan sama ada akan disambung semula atau tidak, katanya kepada Bernama pada akhir Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 di sini hari ini.
“Oleh itu, semua ini perlu berlaku sebelum Malaysia boleh menyambung semula rundingan dengan EU secara rasminya. Justeru, semua pilihan berkaitan perjanjian tersebut masih terbuka.
“Bagaimanapun, jika ia tidak baik untuk Malaysia, kita tidak akan menandatanganinya,” katanya.
Malaysia dan EU melancarkan perbincangan mengenai FTA pada 2010, tetapi selepas tujuh pusingan rundingan, ia telah ditangguhkan pada 2012.
Malaysia kemudiannya memberi tumpuan kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang telah diratifikasi dan berkuat kuasa pada 29 November 2022. – Bernama