Ahmad Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menyekat 1.8 bilion panggilan scam dari 2017 hingga 2022.

Menteri Komunikasi dan Digital, , Ahmad Fahmi Fadzil berkata,  sejak 2018, pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan juga berjaya mengekang 300 juta penipuan menerusi mesej pesanan ringkas (SMS).

Ia membabitkan lingkungan 12 hingga 14 jenis penipuan atau scam yang antaranya menawarkan perkhidmatan dan pekerjaan.

“Saya ingin mengingatkan sempena Tahun Baharu Cina ini, pasti ramai yang akan keluarkan duit simpanan dan sebagainya. Tolong hati-hati dengan scammer di musim perayaan ini.

“Sejak 2018, sebanyak 300 juta scam SMS yang telah berjaya dikekang (disekat), tetapi masih berlaku lagi. Jadi peringatan saya kepada rakyat Malaysia supaya tolong berhati-hati ketika dalam suasana perayaan ini.

“Sudah pasti akan ada yang menangguk di air keruh bagi mengambil kesempatan (sekat) wang daripada keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka MCA di Wisma MCA hari ini.

Majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas mengenai langkah yang diambil oleh KKD ke atas sindiket penipuan dalam talian, Fahmi menjelaskan, agensi di bawah kementerian itu seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) membuat kerjasama dengan syarikat perkhidmatan telekomunikasi termasuk entiti di kementerian lain.

Antara agensi kementerian lain yang terlibat adalah Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC).

“Pertemuan pertama saya dan pasukan dengan Timbalan Menteri Kewangan dan kedua pada Jumaat.

“Kami lihat beberapa perkara ke hadapan yang kami perlu lakukan termasuk mengemas kini undang-undang.

“Ia termasuk meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan rakyat termasuk mengadakan kempen bulan kesedaran kebangsaan mengenai scam.

“Kita kena ada satu peningkatan kesedaran tentang cara-cara scammer ini beroperasi dan dalam masa sama, kita lihat satu tindakan bersepadu antara KKD, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar (KLN) kerana kita dapati sejumlah panggilan scam ini tidak berlaku dalam negara tetapi merentasi sempadan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai penipuan menerusi aplikasi sembang Telegram yang kian menjadi-jadi, Fahmi mengakui identiti beliau turut disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan menyamar untuk menipu orang lain.

Beliau mengakui banyak penipuan berlaku di platform berkenaan sambil menambah akan mengaturkan satu pertemuan dengan pihak Telegram untuk membincangkan isu berkenaan.

“Antara masalah yang kita hadapi dengan Telegram ialah ia adalah ‘encrypted system’. Insya-Allah, pihak saya akan cuba menghubungi pihak Telegram untuk kita atur beberapa perkara,” tambahnya. – MalaysiaGazette