BRASILIA – Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, telah memecat ketua tentera negara ini, dua minggu selepas rusuhan di ibu negara.
Jeneral Julio Cesar de Arruda hanya memegang jawatan itu sejak 30 Disember – sejurus sebelum mandat bekas Presiden Jair Bolsonaro berakhir.
Lula mengesyaki pasukan tentera bersekongkol dengan penunjuk perasaan.
Beliau telah memecat berpuluh-puluh pegawai tentera sejak kebelakangan ini.
Beribu-ribu penyokong Bolsonaro menyerbu bangunan kerajaan di Brasília pada 8 Januari selepas berjaya berarak, sebahagian besarnya tidak dicabar ketika melalui bandar itu.
Beberapa pegawai polis cedera dalam keganasan dan Istana Presiden, Kongres dan Mahkamah Agung telah dirosakkan selepas perusuh pecah masuk.
Kira-kira 2,000 orang telah ditahan pada hari itu dan polis Brazil melaporkan hampir 1,200 masih ditahan.
Mahkamah Agung sedang menyiasat apa yang berlaku dan Jair Bolsonaro termasuk dalam siasatan itu.
Pendakwa raya berkata, bekas pemimpin sayap kanan itu mungkin telah mencetuskan rusuhan selepas menyiarkan video yang mempersoalkan kesahihan pilihan raya presiden tahun lalu.
Namun, Bolsonaro telah menafikan sebarang penglibatan atau tanggungjawab terhadap pemberontakan oleh penyokongnya.
Jeneral Arruda digantikan oleh seorang komander tentera yang rapat dengan presiden iaitu Jeneral Tomás Ribeiro Paiva.
Beliau membuat ucapan awal minggu ini menggesa askar menerima keputusan pilihan raya presiden.
Tuduhan penipuan yang tidak berasas dalam pilihan raya Oktober merupakan motivasi yang mendorong ramai penyokong Bolsonaro yang terlibat dalam penyerangan itu.
Ramai juga yang marah kerana Presiden Lula, yang didapati bersalah kerana rasuah pada 2017 dan menghabiskan masa di penjara sebelum sabitannya dibatalkan, kembali berkuasa. – Agensi