Lori yang membawa buah sawit milik Nit Mat Adam menunggu giliran untuk dijual kepada kilang di Felda Chini Timur, Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan kekurangan pemangkin pasaran, kata peniaga.

Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group Jim Teh berkata, pasaran dijangka lengang berikutan kebanyakan pelabur tiada disebabkan cuti Tahun Baharu Cina.

“Pada minggu dagangan yang pendek disebabkan cuti umum, jumlah komoditi akan berkurangan berikutan kebanyakan peniaga mengambil cuti panjang,” katanya kepada Bernama.

Bursa Malaysia dan semua anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin dan Selasa depan (23 dan 24 Januari) bersempena cuti Tahun Baharu Cina.

Pengendali pasaran saham itu dalam kenyataannya sebelum ini berkata kesemua operasi akan disambung semula pada Rabu, 25 Jan 2023.

Bagaimanapun, pada tiga hari dagangan minggu depan, Teh menjangka akan menyaksikan aktiviti pengambilan untung untuk keuntungan spekulatif dan menjangka harga akan berada antara RM3,500 dan RM3,600 satu tan.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata pada minggu depan, pasaran akan diniagakan dalam jajaran kecil dengan aktiviti yang perlahan berikutan cuti hujung minggu yang panjang.

Pada asas mingguan, Februari 2023 naik RM52 kepada RM3,885 satu tan, Mac 2023 meningkat RM46 kepada RM3,887 satu tan, April 2023 menambah RM47 kepada RM3,892 satu tan, Mei 2023 menokok RM40 kepada RM3,890 satu tan dan Jun 2023 naik RM38 kepada RM3,883 satu tan. Bagaimanapun, Julai 2023 berkurangan RM25 kepada RM3,863 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 230,566 lot daripada 332,831 lot manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 179,235 kontrak daripada 191,732 kontrak minggu lepas.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan berada pada RM3,950 satu tan. – BERNAMA