KUALA LUMPUR – Bas persiaran yang terbakar di Plaza Tol Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat Serdang pagi tadi, mengalami masalah padel clutch keras hingga menyebabkan kenderaan itu berhenti dengan sendiri.
Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, semasa kejadian seorang penumpang menjerit perkataan api menyebabkan pemandu melihat melalui cermin sisi kiri dan ternampak api sedang marak di bahagian belakang.
“Semasa hendak menghampiri Tol UPM jarak antara 50 meter, pemandu mencuba menekan padel clutch tetapi keras dan bas berhenti dengan sendiri di tol UPM.
“Ketika itu seorang penumpang menjerit perkataan api dan pemandu melihat melalui cermin sisi kiri dan api sedang marak di bahagian belakang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
MalaysiaGazette melaporkan seramai 44 penumpang berdepan detik cemas selepas bas persiaran yang dinaiki terbakar di plaza tol berkenaan sekitar 6 pagi tadi.
Bagaimanapun, semua temasuk pemandu sempat menyelamatkan diri.
Bas persiaran itu dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur mengalami kebakaran 100 peratus.
Insiden mendebarkan itu turut menyebabkan bumbung plaza tol turut terbakar.
Bas terbabit juga telah dialihkan ke tempat yang selamat pukul 8.22 pagi. – MalaysiaGazette