MELAKA – Selepas 15 tahun tidak pernah menerima kunjungan mana-mana ketua pemimpin negeri sempena Tahun Baharu Cina, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini memecah tradisi menziarahi kediaman Ahli Parlimen DAP di rumahnya di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan Sulaiman akan menziarahi kediaman beliau berhampiran Jalan Ong Kim Wee kira-kira pukul 5.30 petang tadi.
Menurutnya, ia adalah kali pertama Ketua Menteri daripada UMNO meraikan Tahun Baharu Cina bersamanya sejak mula menjadi wakil rakyat pada 2008, namun berasa bertuah dapat meraikannya bersama atas nama Kerajaan Perpaduan.
“Yang Amat Berhormat (YAB) dan isteri (Datin Seri Munira M Yusop) meluangkan masa hampir satu jam bertanya khabar mengenai keluarga selain menyentuh perancangannya bersama-sama Pakatan Harapan (PH) untuk memajukan Melaka.
“Beliau menyatakan komitmennya memajukan Melaka seperti dilakukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang mana inisiatif sebegitu juga perlu diterjemahkan di peringkat negeri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Phoay Tiong yang juga Naib Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan berkata, inisiatif diambil Sulaiman itu sekali gus menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat terhadap usaha Barisan Nasional (BN) Melaka dalam konteks mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“YAB mahu kami bergerak bersama memajukan Melaka di setiap peringkat baik cawangan, bahagian, negeri bahkan ahli parti akar umbi juga perlu menggerakkan semangat perpaduan ini.
“Tentulah, ini juga merupakan satu cabaran yang besar memandangkan kami sebelum ini masing-masing berada di pihak yang berlawanan, namun kini bersatu atas nama Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Tambahnya, dalam kunjungannya itu, Sulaiman dihidangkan minuman Teh Cina, kuih karipap yang dibuat ibu tunggal Melayu dari kawasan sekitar dan buah-buahan. – MalaysiaGazette.