DUA buah dron dari Pasukan Udara JSPT Bukit Aman turut digunakan bagi mengesan kawasan-kawasan sesak di sekitar bandaraya Melaka dalam Op Selamat 19.

MELAKA – Angka kemalangan jalan raya di negeri ini dalam Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina bermula Rabu lalu meningkat 78 kes berbanding Op Selamat 17 tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kes kematian, cedera parah dan cedera ringan akibat nahas itu bagaimanapun mencatatkan penurunan.

Selain itu, tiada kemalangan maut direkodkan tahun ini. Op Selamat 19 akan berkuat kuasa selama 10 hari bermula Rabu lalu hingga 27 Januari ini.

Menurutnya secara keseluruhan sehingga semalam pada hari ke lima Op, ia merekodkan 339 kes berbanding 261 kes dalam tempoh sama Op Selamat 17 pada tahun lalu.

Amran@Mohamad Zaki (kanan) melakukan pemeriksaan motosikal dalam Op Selamat 19 di Melaka.

“Daripada 339 kes direkodkan tahun ini, 13 melibatkan mangsa parah, cedera ringan (3) serta masing-masing satu kes menyebabkan kemalangan maut dan kematian serta bakinya hanya berlaku kerosakan kenderaan.

“Walaupun angka kemalangan meningkat 30 peratus atau 78 kes, nahas mengakibatkan kematian, parah dan cedera ringan masing-masing berkurangan sebanyak dua, 14 dan 10 kes,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mengulas lanjut Amran@Mohamad Zaki berkata, sepanjang lima hari Op Selamat 19, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 2,250 saman atas enam kesalahan lalu lintas utama.

“Dalam operasi tahun ini, empat hari pertama kita fokuskan pada tindakan penguatkuasaan manakala pada hari perayaan semalam dan hari ini adalah menyantuni pengguna jalan raya bagi melancarkan aliran trafik.

“PDRM juga menggunakan dua buah dron dari Pasukan Udara JSPT Bukit Aman bagi mengesan kawasan-kawasan sesak di sekitar bandar raya Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette