kebangkitan islamofobia
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, pihak tertentu menyebarkan Islamofobia di negara ini berniat untuk mengadu domba dan menghalang kuasa pemerintahan kembali kepada Islam sebenar.

Menurut beliau, pada peringkat global, Islamofobia disebarkan kepada masyarakat majmuk di negara Islam khususnya dalam kalangan bukan Islam.

“Isu Islamofobia ialah senjata baru serangan pemikiran terhadap Islam khususnya oleh kerajaan ciptaan penjajah.

“Begitu juga, parti politik, kumpulan sekular dan individu yang bermusuh terhadap Islam, khususnya melalui media tanpa sempadan yang tidak dapat menyembunyikan permusuhannya terhadap Islam secara jahil atau jahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan 28 November lalu, Abdul Hadi berkata; “Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka.”

Beliau turut mengecam tindakan pemimpin-pemimpin DAP melabelkan Pas sebagai Taliban bagi memburuk-burukkan imej partinya terutamanya dalam kalangan bukan Islam.

Berikutan kenyataan tersebut, veteran DAP, Lim Kit Siang mencabar Abdul Hadi mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhannya bahawa DAP mengamalkan Islamofobia atau menarik balik dakwaan tersebut jika gagal membuktikannya.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, kini serangan diteruskan dengan menggunakan media baharu bagi menyebarkan Islamofobia dengan menuduh Islam sebagai melampau.

Beliau memberitahu, pada awalnya, Islamofobia lebih disebarkan dalam masyarakat Barat kemudian dibawa ke dalam masyarakat Islam yang jahil pada zaman penjajah bagi menghalang kebangkitan semula Islam dan umatnya.

“Pada masa yang sama, bagi menutup kegagalan ideologi ciptaan manusia di Timur dan Barat. Islam diberikan gambaran yang salah dan fitnah yang menakutkan walaupun umatnya dianggap lemah dan mundur,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast