Shahrul Khalidin, 35 bercakap ketika ditemubual berkaitan isu pengeluaran KWSP ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak sanggup lagi berdepan dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus selepas empat kali berturut-turut, sebelum ini.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, kenaikan OPR sebelum ini sudah banyak membebankan rakyat apabila kos pembiayaan pinjaman meningkat ketika pendapatan rakyat belum pulih sepenuhnya.

Menurut Shahrul Khalidin, 35, walaupun langkah itu dilihat boleh mengurangkan kadar inflasi di dalam negara, namun peningkatan OPR itu perlu munasabah, bersesuaian dengan kos sara hidup rakyat.

“Dari segi pembayaran bulanan itu, memang terasa, tapi ini mungkin salah satu percaturan kerajaan untuk menstabilkan dari segi inflasi.

“Kita tengok dulu kerajaan baharu ini uruskan ekonomi dan saya harap ekonomi akan lebih baik daripada sebelum ini.

“OPR ini ada kalanya naik dan turun, mungkin lepas ekonomi stabil itu, kerajaan boleh stabilkan balik kiraan OPR dengan kos bulanan untuk kita bayar dari segi pinjaman peribadi, perumahan dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Jamil Ramli, 60, bercakap ketika ditemubual berkaitan isu pengeluaran KWSP ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 JANUARI 2023.

Bagi Jamil Ramli, 60, dia membantah langkah BNM menaikkan lagi OPR kerana kadar sedia ada ketika ini pun sudah membebankan.

“Rakyat juga berhutang, kadar itu jika dinaikkan sangat membebankan rakyat dengan pendapatan kita yang tidak seberapa dan konsisten sekarang ini.

“Kita masih di kedudukan yang belum stabil, rakyat B40 dan ke bawah

“Kalau boleh Bank Negara atau kerajaan Malaysia bertindak supaya perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Selain itu, Mohd Hatta Shafie, 47, mengakui kenaikan OPR selepas empat kali berturut-turut sebelum ini membuatkan kos sara hidup juga meningkat.

“Memang membebankan rakyat buat masa ini, sebab kadar sekarang ini pun kurang stabil,” katanya.

Muhammad Huzair, 36, bercakap ketika ditemubual berkaitan isu pengeluaran KWSP ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 JANUARI 2023.

Sementara itu, Muhammad Huzair, 36, kenaikan OPR turut memberi tekanan kepada peminjam bank yang terpaksa menanggung lebihan kos itu.

“Mungkin akan beri tekanan, pada masa sekarang kita tak nampak, perkara itu kita tak nampak sebab beri kesan jangka masa panjang.

“Ia juga satu bentuk bebanan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast