Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Pembentukan Kerajaan Perpaduan dibuat atas satu titik persamaan dengan parti gabungan mengetepikan agenda politik masing-masing.

Menafikan segala tuduhan negatif pemimpin dari Perikatan Nasional (PN), Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed menjelaskan, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersatu demi memastikan sebuah kerajaan toleransi dapat dibentuk.

Katanya, titik persamaan yang dicapai itu, sekali gus menafikan kutukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO dengan PH menubuhkan kerajaan yang tidak mengikut peraturan Allah dan haram.

“Hadi melalut lagi. Dia tuduh Kerajaan Perpaduan ini tak ikut konsep sebenar dan lebih besar kepala dari badan.

“Hadi kata konsep perpaduan sebenar adalah bersatu atas titik persamaan sahaja dan bertasamuh (bertoleransi) dalam perbezaan dan kelainan yang mengikut garis sempadannya.

“Habis tu apa yang UMNO, PH, GPS, GRS buat hari ini bukankah bersatu atas satu titik persamaan dengan mengetepikan agenda politik dan perjuangan masing-masing demi memastikan sebuah kerajaan yang toleransi dapat dibentuk. Apa yang kamu merepek ni wahai Hadi?,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Nur Jazlan berkata, Kerajaan Perpaduan hari ini berjaya dibentuk apabila DAP bersetuju untuk menerima agenda mempertahankan Islam, Melayu dan institusi raja seperti disyaratkan oleh UMNO.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula telah melantik ramai menteri dan timbalan menteri dalam kalangan Melayu Islam dalam kabinet kerajaan demi menunjukkan kekuatan sejati Melayu Islam di Malaysia.

DAP juga, ujar beliau, telah bertolak ansur untuk menerima kuota menteri dan timbalan yang kecil jika dibandingkan dengan jumlah kerusi yang mereka menangi.

Selepas itu, kata Nur Jazlan, Abdul Hadi mengeluarkan pula dalil baharu, kononnya Islam menolak bekerjasama dengan kumpulan haram iaitu perompak yang mengambil harta secara paksaan dan terbuka yang dinamakan juga dengan merampas, melanun di lautan luas dan sebagainya.

“Begitu juga, diharamkan bersama kumpulan pencuri yang mengambil harta secara sembunyi tanpa diketahui dan diizinkan oleh pemiliknya. Kemudiannya, disertai oleh kumpulan penipu yang mengumpulkan harta secara menggoda atau berbohong.

“Saya nak tanya dalil tu Hadi tuju kepada diri sendiri dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) ke? Sebab sekarang ini pun dengar cerita Muhyiddin tengah kecut perut bila sudah terbongkar skandal ‘5%’ komisen projek kerajaan zamannya jadi PM bernilai bilion-bilion ringgit masuk ke akaun parti politik.

“Atau Hadi sendiri pun mungkin tengah takut? Mana tahu dia pun takut nama dia dan Pas sangkut sekali,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Marang itu ada menyatakan, Pas cuba selamatkan UMNO daripada ditelan DAP jika terus bekerjasama.

Bagaimanapun, Abdul Hadi diminta mencermin diri dulu supaya beliau Nampak apa yang Pas buat dengan DAP dahulu.

“Masa itu tak terfikirkah DAP akan telan Pas? Masa tengah seronok berkasih sayang sudah lupa semua musibah, tapi bila dah bercerai, baru nampak semua benda buruk. Akhirnya terbentuk Parti Amanah Negara (Amanah) macai DAP yang terhasil daripada hubungan ‘haram’ Pas-DAP itu.

“Sebenarnya pemimpin Pas amat daif kerana mudah terpedaya dengan muslihat DAP. Mereka bercinta, bertunang dan berkahwin, tapi akhirnya bercerai. Sampaikan DAP berjaya hasut sebahagian pemimpin dan ahli Pas untuk derhaka kepada ‘ibu’ sendiri dan berpisah keluar dari parti itu.

“Maka wujudlah parti Amanah hasil daripada hubungan 20 tahun Pas dan DAP. Mungkin Hadi cemburu bila anak-anaknya dalam Amanah kini sudah berjaya dan diangkat menjadi menteri di kementerian penting,” katanya.

Sedangkan, menurutnya, Abdul Hadi pula sudah hilang jawatan dan gaji buta sebagai Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri.

“Sebab itulah Hadi macam kerasukan bila UMNO mula nak berkawan dengan PKR, DAP dan Amanah dalam PH. Kononnya Pas nak tolong UMNO, padahal Pas dan Hadi sebelum ini pun hanyut dalam pelukan DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

“Hadi tak payahlah nak sibuk dengan urusan UMNO. Tahulah kita macam mana nak jaga diri sebab UMNO pun dah 70 tahun lebih hidup dalam politik Malaysia. UMNO lebih arif dengan sepak terajang, taktik, muslihat dan helah orang-orang politik.

“Macam saya pesan sebelum ini, Hadi kena reda dengan takdir Allah yang tak angkat Pas dan PN jadi kerajaan dek kesombongan mereka sendiri. Jadi kena dah move on dan fokus jadi pembangkang yang bijak untuk Kerajaan Perpaduan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast